MUKADIMAH
HEBOH baru-baru ini apabila kerajaan dikatakan mahu membubarkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang kewujudannya sejak 1987 banyak membantu rakyat keluar daripada garis kemiskinan.
Video oleh FARIZ RUSADIO
Malah, sesama peserta sehingga hari ini masih runsing dan apabila berjumpa pegawai-pegawai AIM, soalan pertama yang diajukan mereka ialah benarkah institusi itu bakal ditutup?
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB, mereka meluahkan rasa kebimbangan itu.
ALOR SETAR 26 Dis. – Para usahawan bumiputera yang sebelum ini tidak berkemampuan berniaga tetapi kini berjaya hasil bantuan modal Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), bimbang pembubaran institusi itu akan mendorong mereka menjadikan ah long sebagai pilihan untuk meminjam.
Ini kerana kata mereka, institusi perbankan meletakkan syarat terlalu ketat untuk membuat pinjaman menyebabkan kaedah tersebut tidak menjadi pilihan.
Seorang usahawan yang juga peserta AIM, Saadiah Daud, 56, yang menjadi sahabat AIM sejak 1996 dan mengusahakan produk kesihatan Gano Excel berkata, dia amat kecewa dengan usaha untuk membubarkan institusi itu.

Menurutnya, AIM telah banyak membantu orang susah khususnya golongan ibu tunggal dengan bantuan pinjaman sebagai modal memulakan perniagaan.
Malah, kata Saadiah yang menetap di Kampung Sematang Gunung di sini, rata-rata penduduk setempat memulakan perniagaan hasil pinjaman daripada AIM.
“Saya bimbang jika bantuan ini dihentikan, tidak mustahil orang susah yang ingin mula berniaga terpaksa pinjam ah long kerana tidak ada pilihan lain.
“Hendak pinjam bank bukan mudah, perlu melalui pelbagai proses dan kelayakan tertentu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Rodiyah Hashim, 54, dari Kampung Alor Ibus, Kuala Kedah yang turut membantah pembubaran AIM menceritakan, suatu ketika dahulu kehidupannya ibarat ‘kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang’.
Dengan hanya bergantung kepada pendapatan suami sebagai nelayan, dia mengakui sama sekali tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka 10 beranak.
Namun, kini segala-galanya telah berubah.
Rodiyah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Yah sudah bergelar usahawan hasil bantuan AIM sebanyak RM2,000 pada 2004 untuk dijadikan modal perniagaan belacan.
“Sejak itu, perniagaan saya bertambah maju. Bermula dengan pinjaman RM2,000 kemudian meningkat RM4,000 sehingga RM50,000, sangat-sangat membantu saya mengembangkan perniagaan.
“Hari ini, saya mampu menjual sebanyak 500 sehingga 1,000 keping belacan sehari.
“Terima kasih AIM yang banyak membantu saya keluar daripada kepompong kemiskinan. Saya harap skim bantuan ini dapat diteruskan sampai bila-bila,” katanya.










