Usaha perkasa wanita Rohingya - Utusan Malaysia

Usaha perkasa wanita Rohingya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPADATAN melampau di kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar, Bangladesh menjadikan para penghuninya sukar menikmati suasana kehidupan yang selamat apatah lagi selesa dan harmoni.

Sejak dibuka pada pertengahan 2017, lebih sejuta pelarian ditempatkan di situ. Bukan itu sahaja, penempatan pelarian tersebut terbahagi kepada tujuh kem kecil dan antara yang terbesar adalah kem pelarian Kutupalong.

Penempatannya dibina daripada bahan asas seperti kayu, buluh dan kanvas sahaja. Lebih menyedihkan, ia dibina cukup rapat antara satu sama lain. Secara purata, satu rumah memuatkan antara lima hingga enam ahli keluarga.

Keperitan tersebut telah menarik perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) melalui agensi di bawahnya, Rose2Rose untuk menjayakan misi membantu etnik Rohingya di kem tersebut, baru-baru ini.

Lawatan pasukan itu dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), UniSZA Society for Humanity (Humane) dan NGO di Bangladesh iaitu Allama Fazlullah Foundation (AFF) disertai oleh sekumpulan pensyarah, guru dan pelajar.

“Antara projek yang dilaksanakan adalah memperkasakan kemahiran golongan wanita kerana 50 peratus populasi pelarian Rohingya di kem tersebut adalah wanita,” kata ketua misi, Dr. Noorhasyimah Ismail.

Sehubungan itu katanya, pihaknya menumpukan kepada bidang yang bukan hanya boleh memberikan mereka ilmu dan latihan, tetapi sumber pendapatan.

“Kami melihat bidang jahitan cukup berpotensi. Untuk itu, dalam misi kali ini kami menyerahkan kira-kira 20 buah mesin jahit kepada 20 wanita di Kem Kutupalong,” katanya.

Keyakinan kepada bidang jahitan itu terbukti apabila sekumpulan wanita Rohingya yang sebelum ini diberikan latihan dan mesin jahit telah berjaya menyiapkan 100 pasang pakaian seragam sekolah.

“Ia sangat bermakna buat wanita-wanita Rohingya kerana mereka bermula tanpa pengetahuan menjahit sehingga mampu menghasilkan pakaian seragam kanak-kanak dalam masa hanya empat bulan,” katanya.

PROJEK TELAGA AIR

Selain itu, misi tersebut turut menyumbang kepada projek pembinaan telaga air bersih yang mampu mengeluarkan kira-kira 100 liter air pada satu masa dan ia memberi kemudahan kepada surau, sekolah dan penduduk berdekatan.

Antara projek lain berjaya dilaksanakan adalah penyerahan pek makanan berkhasiat kepada lebih 1,500 pelarian di dua kem iaitu Kutupalong dan Balukhali.

Sepanjang misi diadakan, kesemua sukarelawan turut berpeluang menjalankan aktiviti bersama pelajar sekolah di Kem pelarian Kutupalong.

Pelajar-pelajar tersebut diberikan sebuah buku mewarna dan pensel warna hasil sumbangan rakan-rakan sukarelawan dari Malaysia. Sesi ini melibatkan hampir 180 pelajar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN