KANGAR 13 Dis. – Tindakan pemimpin UMNO Sabah yang keluar parti beramai-ramai semalam telah membolehkan parti itu tampak lebih segar dan berkeyakinan menerusi pemilihan pemimpinnya yang baharu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaakob berkata, beliau yakin senario itu tidak akan sama sekali melumpuhkan parti keramat orang Melayu itu.
Sebaliknya ujar beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO negeri, UMNO akan terus kekal utuh selepas rakyat kini semakin menyedari kelemahan kerajaan Pakatan Harapan.
“Marilah kita berlapang dada dan menganggap tindakan sekumpulan pemimpin politik itu (keluar parti) hanyalah untuk menyelamatkan survival politik mereka.
“Jangan lupa detik 8 Disember lalu apabila negara menjadi saksi lautan rakyat ‘memutihkan’ ibu negara demi mempertahankan kepentingan Islam, bangsa Melayu, Bumiputera dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, lima ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua senator UMNO mengumumkan keluar parti dengan alasan parti itu tidak mempunyai hala tuju yang jelas.
Suraya seterusnya menegaskan bahawa UMNO Kedah khususnya di bahagian Pendang tidak akan goyah dengan situasi di Sabah, sebaliknya semakin bersemangat menentang kebejatan politik kerajaan baharu.
“Perjuangan parti keramat bangsa ini akan tetap kita teruskan walau terpaksa menongkah arus deras yang membadai. Kami tetap setia bersama UMNO yang kini semakin gagah membelah arus, demi Islam, Melayu dan Tanah Melayu!,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










