KUALA LUMPUR 11 Dis. – Walau apapun yang berlaku, UMNO di Sabah akan terus diperkukuh malah dikekalkan termasuklah diberikan kuasa autonomi parti di negeri itu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, proses ini sedang dilakukan bagi memperkuat serta membolehkan UMNO Sabah diberikan lebih besar peranan dan tanggungjawab.
“Oleh itu, tidak timbul isu UMNO di Sabah akan dibubarkan. Walaupun terdapat pimpinan di Sabah bertindak keluar daripada UMNO. Kepemimpinan UMNO di peringkat Pusat akan terus melaksanakan usaha bagi memperkuatkan UMNO di Sabah ketika ini, terutama cabaran yang dihadapi sekarang.

“Kepada pimpinan dan rakan-rakan serta ahli UMNO yang masih setia di Sabah, saya berharap kita tetap terus setia dengan UMNO. Percayalah semua ini adalah asam garam perjuangan, pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi UMNO di Sabah mesti terus kekal untuk berbakti kepada rakyat di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai empat ahli UMNO di Sabah yang dijangka keluar parti iaitu Ahli Parlimen Kudat, Abd Rahim Bakri; Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Mohd Dun; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Edris dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee.
Tambah Shamsul Anuar, sejarah UMNO di Sabah juga cukup panjang selain bakti dan jasanya kepada rakyat Sabah begitu lama dan sudah terbukti.
Menurutnya, kemasukan UMNO di Sabah pada tahun 1991 antara lain bagi membolehkan juga tokoh-tokoh di negeri itu dapat diangkat berperanan di peringkat nasional dan terbukti berlaku.
“UMNO adalah parti yang mempunyai prinsip dan idealisme perjuangan yang sangat jelas. Perjuangan parti bukan bersifat peribadi sebaliknya UMNO berjuang membela kepentingan Melayu dan bumiputera di samping membela kepentingan semua kaum lain sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.










