UMNO Kedah sifatkan Ahmad Zahid berjiwa besar - Utusan Malaysia

UMNO Kedah sifatkan Ahmad Zahid berjiwa besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 19 Dis. – UMNO negeri terharu dengan keprihatinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkan cukup berjiwa besar apabila menyerahkan tugasnya kepada Datuk Seri Mohamad Hasan bagi menjalankan tugas-tugas sebagai presiden parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Ahmad Zahid telah meletakkan kepentingan parti lebih daripada segala-galanya dan pengorbanannya itu sangat dihargai.

“Selaku ahli dan kepemimpinan parti di pelbagai peringkat, kita amat terharu dengan keprihatinan presiden yang berjiwa besar dengan meletakkan kepentingan parti paling hadapan daripada segala-galanya.

“Mewakili semua ahli UMNO Kedah, tidak ada apa yang dapat diungkapkan selain ucapan terima kasih di atas segala jasa dan sumbangan Ahmad Zahid selama ini sepanjang berada di saf kepemimpinan parti,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid menyerahkan kepada timbalannya, Mohamad menjalankan tugas-tugas presiden parti bagi menyelamatkan UMNO daripada terus berpecah dan juga demi penyatuan ahlinya.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, langkah tersebut penting dalam usaha memastikan UMNO bangkit kembali terutama ketika ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima pelbagai tekanan agar meninggalkan parti itu.

Sementara itu, Jamil Khir berharap Mohamad dapat menjalankan tugas presiden dengan baik dan menyatupadukan semula kepemimpinan dan ahli.

“UMNO Kedah akan sentiasa teguh dan kukuh berdiri bersama Mohamad.

Moga Allah sentiasa memberkati kita semua dalam perjuangan melalui wadah UMNO,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN