Ugut syarikat tidak dapat pampasan, dua lelaki diberkas - Utusan Malaysia

Ugut syarikat tidak dapat pampasan, dua lelaki diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SLOR SETAR 27 Dis. – Akibat tidak berpuas hati kerana tidak diberi pampasan setelah dibuang kerja, tiga lelaki bertindak memeras ugut pengurus sebuah syarikat dengan membakar sebuah jengkaut di tapak projek Bandar Sri Mahkota, Sungai Ular di Kulim dekat sini, baru-baru ini.

Perbuatan itu mengundang padah apabila dua daripada mereka diberkas polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, dua lelaki tempatan berusia 26 dan 31 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Ladang Sungai Ular, Kulim kira-kira pukul 1 petang.

Kata beliau, dua suspek terbabit bersama seorang lagi rakan mereka yang merupakan bekas pekerja kontrak di situ dipercayai telah mengugut pengurus tapak projek berusia 47 tahun supaya diberikan pampasan sebanyak RM6,000 akibat kehilangan kerja pada 3 Disember lalu.

“Pengurus projek kemudian memaklumkan dia tiada wang sebelum suspek mengugut membayar wang secara bulanan sebanyak RM1,000 sebulan atau suspek akan membakar rumah kongsi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Nasir, tiga suspek tersebut kemudian mengarahkan mangsa untuk mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah kedai serbaneka 24 jam dan sebuah bank, namun kedua-dua transaksi tidak berjaya.

“Mereka meninggalkan mangsa di situ dengan amaran akan kembali ke tapak projek untuk mengutip wang,” ujarnya.

Tambah beliau, mangsa hanya membuat laporan polis berhubung kejadian pada 15 Disember lalu sebelum polis berjaya menahan dua suspek terlibat semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 dan 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut serta khianat dengan api,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN