JOHOR BAHRU 5 Dis. – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) akan memberi lebih tumpuan kepada empat sektor dalam usaha meningkatkan pelaburan di kawasan Iskandar Malaysia pada masa akan datang.
Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, empat sektor berkenaan adalah pelancongan, industri kreatif, logistik dan perkhidmatan kewangan.
Katanya, empat sektor itu akan mempelbagaikan perusahaan di wilayah berkenaan selepas sektor elektrik dan elektronik, minyak dan petroleum serta makanan dan minuman.
“IRDA akan terus menarik lebih banyak pelaburan daripada pelbagai peringkat bukan sahaja untuk mempromosi Iskandar Malaysia, tetapi negara Malaysia sebagai sebuah hab pelaburan antarabangsa.
“Kemasukan pelaburan ini secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada ekonomi negara dan rakyatnya yang mendapat peluang pekerjaan di mana sejak 2006, sebanyak 700,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking di pejabat IRDA, Teluk Danga di sini hari ini.
Sejak ditubuhkan pada 2006, IRDA telah mencatat jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM273 bilion.
Antara jenama antarabangsa yang melabur di Iskandar Malaysia termasuk Legoland Malaysia, IKEA, BMW, Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Gleneagles, Regency Specialist, Dyson dan Hershey’s.
Ismail berkata, pihaknya mahu memastikan Iskandar Malaysia bukan sahaja menjadi hab pelaburan bagi menjalankan perniagaan, tetapi sebagai lokasi kediaman buat semua peringkat.










