Tujuh lelaki didakwa pergaduhan di R&R Gambang - Utusan Malaysia

Tujuh lelaki didakwa pergaduhan di R&R Gambang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Tujuh lelaki termasuk seorang pemandu bas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, berhubung insiden pergaduhan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang yang tular menerusi media sosial, pada 24 Disember lalu. 

Enam daripada mereka yang turut melibatkan adik-beradik daripada dua keluarga berbeza, mengaku bersalah atas pertuduhan merusuh sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah manakala pemandu bas itu pula yang dituduh mencederakan dua remaja meminta dibicarakan dalam satu prosiding berasingan.

Yang mengaku bersalah ialah Ahmad Mohamad Noor, 44 dan adiknya Ahmad Kamaruddin, 41 serta Muhammad Isamrudin Dollah, 34 dan dua abangnya Hairie, 40, serta  Mohd Hapis Sukri, 36, serta rakan mereka Shahrizan Mohd Sham, 36.

Kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan terlibat dalam kumpulan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan mahu mendatangkan kecederaan kepada pemandu bas Mohd Saifullakmal Abdul Rasid, 32, antara 1.30 hingga 2 pagi, 24 Disember lalu di kawasan tempat letak kenderaan R&R Gambang arah Barat di sini.

Bagi kesalahan itu, mereka yang ditangkap sehari selepas kejadian, didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa disoal Nurunaim, Ahmad mewakili semua tertuduh berkata kesalahan itu berlaku tanpa sengaja selepas dimaklumkan terdapat perselisihan faham di antara pemandu bas yang sering makan di kedai yang diusahakan adiknya.

“Benda ini tak sengaja berlaku… sebab ini melibatkan keluarga dan adik saya. Bila dengar pekerja adik saya diperlakukan begitu, saya marah dan pergi (ke kedai). Tak sengaja kejadian ini berlaku,” katanya.

Nurunaim memerintahkan semua tertuduh menjelaskan denda berjumlah RM2,000 setiap seorang atau berdepan hukuman penjara selama dua bulan, jika gagal berbuat demikian.

Pada prosiding berasingan, Mohd Saifullakmal mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencederakan Shahril Helmi Mohd Radzuan dan Mohamad Irwan Shah Azman, kedua-duanya berusia 17 tahun, yang bekerja di kedai makan di R&R tersebut.

Mohd Saifullakmal yang berasal dari Marang, Terengganu didakwa mencederakan mangsa dengan cara memukul belakang leher dan mencekik mereka di gerai nombor 6, R&R Gambang arah Timur pada 1.30 pagi, 24 Disember lalu. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN