TRW yakin tiada masalah walau lambat ikat jurulatih - Utusan Malaysia

TRW yakin tiada masalah walau lambat ikat jurulatih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 28 Dis. – Tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang masih belum memuktamadkan pengganti kepada Yusri Che Lah diyakini tidak mengundang ‘malapetaka’ terhadap The Red Warriors (TRW) dalam mengharungi saingan Liga Perdana 2019.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, walaupun tiada sebarang perlantikan untuk jawatan itu dibuat ketika ini, persiapan pramusim pasukan TRW tetap berjalan mengikut perancangan.

Menurutnya, buat masa ini tugas mengendalikan pasukan dipangku oleh pengarah teknikal Jorg Peter Steinebrunner dan penolong jurulatih Kamarudin Muhammad.

“Bagi saya tidak timbul isu malapetaka akan melanda pasukan kerana Peter Steinebrunner dan Kamarudin sedang merencanakan persiapan pasukan.

“Itu satu langkah baik daripada kita terus ambil jurulatih dan tersilap langkah yang akhirnya boleh mengundang malapetaka sebenar kepada pasukan,” katanya.

Utusan Online semalam melaporkan, tindakan Kafa yang masih belum mengumumkan pengganti Yusri untuk mengemudi TRW boleh mengundang ‘malapetaka’ terhadap pasukan itu dalam mengharungi saingan liga.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani memberitahu, Kafa tidak mahu mengulangi kesilapan berhubung perlantikan pengganti Yusri dengan membuat keputusan secara terburu-buru.

Katanya, beliau tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti yang dialami pada saingan musim 2018.

“Musim 2018 kita sudah melakukan dua keputusan yang merugikan persatuan apabila melantik Sathit Bensoh dari Thailand dan Farj Ibrahim dari Syria sebagai jurulatih yang dilihat kurang memberikan impak kepada pasukan.

“Bagi musim 2019, kita perlu meneliti sebaik mungkin sebelum melantik mana-mana jurulatih untuk bersama pasukan, kita akan lihat rekod, lesen dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×