Tindakan Abdul Latiff keluar UMNO tidak beri kesan - Utusan Malaysia

Tindakan Abdul Latiff keluar UMNO tidak beri kesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 16 Dis. – Tindakan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad yang membuat keputusan keluar parti tidak memberi kesan kepada UMNO Johor mahu pun UMNO Bahagian Mersing sebaliknya mereka bersemangat meneruskan perjuangan parti.

Datuk Ir. Hasni Mohammad
Datuk Ir. Hasni Mohammad 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, maklum balas yang diterima, UMNO bahagian itu tidak kecewa atau berasa kehilangan dengan tindakan dibuat Abdul Latiff yang merupakan bekas Ketua UMNO bahagian.

“Yang jelas lagi nyata UMNO Mersing tidak kecewa dan tidak rasa kehilangan, malah saya sendiri bercakap dengan Ketua UMNO Bahagian Mersing (Mohd. Youzaimi Yusof), yang merupakan anak didik Datuk Latiff, mereka masih ada semangat yang tinggi untuk meneruskan peranan masing-masing.

“Jadi kita tidak akan leka dan lalai dalam memastikan UMNO Bahagian Mersing itu dapat meneruskan khidmat bakti amal mereka kepada masyarakat di situ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, Hasni turut berpendapat, Abdul Latiff wajar menimbangkan supaya mengosongkan kerusi beliau bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil dan turut ditujukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sudah keluar parti.  

Tindakan itu, katanya, adalah wajar kerana semua mereka adalah calon-calon yang dipilih oleh UMNO dan jika mereka tidak bersetuju dengan kepimpinan parti tetapi sekurang-kurangnya mereka menghormati UMNO.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hasni tidak menolak bahawa terdapat pemimpin UMNO yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti itu khususnya dalam kalangan ketua-ketua bahagian di negeri ini, namun beliau percaya kepimpinan parti mendengar rintihan mereka.

Pada masa sama, beliau berharap, satu keputusan segera dapat dibuat Presiden kerana dengan hanya menyatakan ‘Saya akan mempertahankan kedudukan saya’ itu bukan satu jawapan yang mahu didengar oleh kepimpinan dan ahli UMNO.

“UMNO Johor sudah menyatakan pendirian dan memberi Presiden membuat pilihan sama ada mahu berehat atau undur diri, tetapi sekiranya beliau mahu kekal kita berpendapat, Presiden perlu melakukan reformasi kepada parti kerana UMNO tidak lagi boleh bergerak seperti biasa dalam keadaan sekarang, kita kena buat lebih daripada itu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN