SEREMBAN – Sebanyak tiga unit pangsapuri tidak berpenghuni di Bandar Universiti Teknologi Lagenda Mantin dekat sini terbakar hari ini dipercayai angkara perbuatan khianat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Mohd. Hidayat Basly berkata, kebakaran itu berlaku kira-kira pukul 1.40 petang tadi.
“Sebanyak tiga unit pangsapuri di dua blok berlainan terbakar. Pangsapuri terbabit tidak berpenghuni dan terdapat perabot usang serta sampah sarap di dalamnya.
“Kebakaran dipercayai angkara perbuatan khianat kerana siasatan mendapati tiada sumber api termasuk elektrik dalam pangsapuri terbabit yang boleh menyebabkan kebakaran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Mohd. Hidayat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 1.48 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira tujuh minit kemudian.
Menurut beliau, seramai empat pegawai dan 12 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin serta Seremban dikerahkan memadamkan kebakaran itu.
Jelas beliau, pintu ketiga-tiga pangsapuri terlibat tidak berkunci apabila bomba tiba dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 20 minit.
“Api tidak merebak ke unit pangsapuri lain dan pemilik pangsapuri yang terbakar belum dikenal pasti,” katanya. – K! ONLINE










