Tiga sahabat ditahan bersama 61.48 gram syabu - Utusan Malaysia

Tiga sahabat ditahan bersama 61.48 gram syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Tiga sahabat yang disyaki pengedar dadah ditahan polis bersama kira-kira 61.48 gram syabu dalam satu serbuan yang dilakukan di sebuah hotel di sini semalam.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis membuat tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek di sebuah bilik di hotel tersebut kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

“Pemeriksaan fizikal yang dilakukan terhadap semua lelaki terbabit berusia 22 dan 24 tahun itu tidak menemui barang yang menyalahi undang-undang.

“Pasukan polis kemudian melakukan pemeriksaan lanjut sebelum menemui satu beg berzip warna hitam mengandungi dua peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu di atas siling bilik air,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, syabu yang dirampas dianggarkan seberat 61.48 gram bernilai kira-kira RM9,222.

“Dalam serbuan sama, kita turut merampas satu alat menghisap dadah, alat penimbang digital dan sejumlah peket plastik kosong,” ujarnya.

Tambah Noor Mushar, ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai buruh disyaki melakukan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Kangar dan Kuala Perlis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN