Tiga pusat pemindahan banjir masih dibuka - Utusan Malaysia

Tiga pusat pemindahan banjir masih dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR 16 Dis.- Sebanyak tiga pusat pemindahan banjir melibatkan 235 mangsa masih dibuka berikutan banjir melanda tiga perkampungan penduduk di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd. Noor berkata, tiga perkampungan terlibat ialah di Kampung Asahan, Kuala Selangor, Kampung Seri Gambut, Tanjong Karang dan Kampung Jaya Setia di Bestari Jaya.

Menurutnya, penempatan mangsa banjir bagi Kampung Asahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasangan dibuka sejak 5 Disember lalu dan sehingga kini berjumlah 186 orang membabitkan 57 keluarga.

“Bagi pusat pemindahan Kampung Seri Gambut di SK Seri Gambut yang dibuka Isnin lalu, tujuh penduduk daripada sebuah keluarga manakala 42 penduduk Kampung Setia Jaya daripada sembilan keluarga pula ditempatkan di Dewan Orang Ramai kampung berkenaan.

“Kesemua penduduk yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan ini disebabkan air banjir sedalam antara 0.5 hingga 1 meter naik di kediaman mereka berikutan hujan lebat berterusan dan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul Shahril Badliza berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan cuaca dan banjir di kampung terlibat dan bersedia sekiranya berlaku pemindahan penduduk berikutan hujan berterusan dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Beberapa agensi berkaitan yang ditempatkan di pusat pemindahan akan menguruskan kebajikan mangsa banjir termasuk penyediaan makan dan minum oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN