KLANG – Sekumpulan penyeludup di sini tidak sempat memunggah rokok seludup yang baharu tiba dari negara jiran selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) di tepi Sungai Bagan Tengkorak, Kuala Selangor di sini awal pagi tadi.
Dalam serbuan pukul 4.30 pagi itu berjaya merampas 4,560 kartun rokok pelbagai jenama bernilai RM748,320 termasuk cukai.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, kejayaan hasil risikan dan intipan selama dua hari oleh PPM Pelabuhan Klang terhadap lokasi tersebut.
Katanya, semasa serbuan didapati ahli penyeludup sedang memunggah rokok seludup daripada sebuah bot pancung.
“Sebaik menyedari kehadiran kami, kumpulan penyeludup itu cuba melarikan diri namun empat daripadanya yang merupakan warga tempatan berjaya ditahan berusia 19 hingga 50 tahun.
“Turut dirampas tujuh buah kenderaan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) iaitu jenis Toyota Innova (4) dan Cherry Easter (1) serta dua buah van jenis
Toyota Hiace dipercayai digunakan bagi pengedaran rokok,” katanya pada sidang akhbar di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Komander Pasukan Polis Marin KDNKA Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat.
Jelas Zainal, hasil pemeriksaan terhadap beberapa kenderaan itu menemui 4,560 kartun rokok pelbagai jenis bernilai RM748,320 termasuk cukai.
Kata beliau, semakan terhadap semua kenderaan penyeludup itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dengan cukai jalan kenderaan didaftarkan atas nama sebuah syarikat beralamat di Kuala Selangor.
“Kesemua barangan rampasan termasuk kenderaan itu yang dianggarkan bernilai RM1. 1juta.
” Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan,” katanya. – K! ONLINE










