KUALA LUMPUR 27 Dis.- Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berpandangan inkues bagi menentukan sebab kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim tidak perlu diadakan kerana hanya akan melengah-lengahkan keadilan kepada keluarga mangsa.
Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menjelaskan, bukan semua kes yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan memerlukan keputusan inkues terlebih dahulu sebelum pendakwaan dapat dilakukan.
Sehubungan itu, tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk segera menyempurnakan kertas siasatan dan Peguam Negara diminta membuat keputusan cepat mendakwa pihak yang terbabit.
“Oleh kerana PDRM telah mengklasifikasi semula kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, adalah amat wajar PDRM menangkap semula dan mendapatkan tahanan reman kepada mereka yang sedang disiasat tersebut bagi mengelakkan proses undang-undang digagalkan.
“Melainkan PDRM berpendapat mereka tidak melakukan kesalahan tersebut dan memberikan justifikasi agar ia menjadi telus. Meskipun begitu, PDRM dan Peguam Negara perlu menjelaskan di mana keberadaan orang yang disiasat dan status siasatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini berkata, Majistret akan diarah melakukan satu inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.
Jelas Muhyiddin, perkara tersebut dimaklumkan sendiri Peguam Negara, Tommy Thomas kepadanya melalui perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu pihak polis melalui rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.
Sementara itu, Zainul Rijal berkata, pihaknya mendesak Peguam Negara untuk memberikan penjelasan terperinci mengapa tiada pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 setakat ini dan mengapa inkues dijalankan kerana orang awam tidak mempunyai akses kepada siasatan.
“Masyarakat perlu tahu sama ada siasatan masih belum lengkap atau terdapat elemen lain yang boleh menjadikan pendakwaan gagal.
“PPMM juga berasa sangat pelik apabila ada pihak yang meminta perlindungan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk masuk campur di dalam siasatan polis dan meminta siasatan bebas dilakukan. Adakah ini bermakna pihak polis sudah tidak menjalankan siasatan dengan bebas sehingga perlu diadakan siasatan lain?,” soalnya lagi. – UTUSAN ONLINE










