KUALA LUMPUR 31 Dis. – Sebelum ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan fasa pertama Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 akan menggunakan pangkalan dan kaedah lama bagi membolehkan pembayaran dilakukan sebelum Februari tahun depan.
Walau bagaimanapun keadaan nampaknya berbeza apabila kategori pemohon lulus BSH itu menafikan 100 peratus hak tiga golongan termasuk mereka yang bujang.
Pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, keadaan itu sepatutnya tidak berlaku kerana golongan bujang juga memerlukan bantuan tersebut bagi menampung kos sara hidup mereka.
“Lebih 50 peratus isi rumah di negara ini berada dalam tahap miskin, termasuk mereka yang bujang. Jadi tiada sebab untuk kerajaan menafikan hak mereka.
“Kerajaan kena teliti dan realistik, mungkin jumlah bantuan itu diberikan separuh kepada golongan bujang, tidaklah sampai tak terima apa-apa langsung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Berdasarkan laman web bsh.hasil.gov.my, tiga golongan tidak layak menerima bantuan tersebut adalah berkahwin dengan pasangan bukan warganegara Malaysia, bujang atau ibu bapa tunggal tiada tanggungan dan bujang yang mempunyai tanggungan. – UTUSAN ONLINE









