Tiada perjanjian damai jika terus ceroboh - Utusan Malaysia

Tiada perjanjian damai jika terus ceroboh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BETHLEHEM 21 Dis. – Pihak Berkuasa Palestin (PA) memberikan mesej tegas untuk tidak menandatangani sebarang perjanjian atau persetujuan dengan Israel jika rejim Zionis terus melakukan pencerobohan terhadap bumi Palestin.

Penegasan itu disuarakan oleh anggota Jawatankuasa Pusat Pergerakan Fatah, Mohammad Shtayeh merujuk kepada tindakan agresif yang dilakukan Israel di Ramallah dekat Tebing Barat seperti dipetik portal PressTV.

Beliau menekankan isu hubu­ngan keselamatan de­ngan Israel kini sedang dinilai oleh pemerintah sebagai maklum balas akibat keganasan dilakukan tentera Zionis di Ramallah, yang mengakibatkan serbuan dan penubuhan pusat-pusat pemeriksaan di laluan pintu masuk bandar.

Beliau turut mendakwa Amerika Syarikat (AS) gagal mencapai matlamat dan idea untuk membawa keamanan.

“Pemerintahan Presiden AS, Donald Trump memaksa kami untuk menerima Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel. Mereka cuba memperdaya kami seperti memperdaya ‘kawanan lembu ke rumah sembelihan’,” katanya.

Dalam perkembangan lain, seorang penduduk Palestin ditembak mati sepasukan tentera Israel berdekatan laluan masuk utara bandar al-Bireh di Tebing Barat.

Portal berita WAFA melaporkan, tentera rejim yang ditempatkan di pusat pemeriksaan berdekatan kawasan tersebut dilaporkan melepaskan tembakan ke arah mangsa yang pada ketika itu cuba untuk masuk ke kawasan itu menerusi pintu kawalan menggunakan kende­raan peribadi.

Sementara itu, ahli kumpulan pelampau Yahudi merosakkan 40 buah kereta milik warga Palestin dan menulis slogan perkauman serta anti-Arab menggunakan semburan cat di kejiranan Beit Hanina, utara Baitulmuqaddis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×