KUALA LUMPUR 27 Dis. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat masih tidak jelas dalam hala tuju pembangunan ekonomi negara kerana sehingga kini belum mempunyai pelan tindakan serta kerangka ekonomi baharu.
Pakar ekonomi, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, ini berbanding dilakukan kerajaan terdahulu yang mempunyai pelbagai pelan ekonomi termasuk merancang pembangunan koridor dan projek-projek infrastruktur.
Katanya yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kali terakhir pelan kerangka ekonomi yang diperkenalkan kerajaan terdahulu adalah pada 2010 sebaliknya di bawah kerajaan baharu, tiada.
“Kita berharap sehingga Mac tahun depan, kita akan ada pelan tindakan baharu. Kerajaan baharu ada banyak idea baik dan banyak yang mencabar.
“Malaysia memerlukan pelan kerangka ekonomi baharu untuk maju. Isu tol, syarikat milik kerajaan (GLC), lebuh raya percuma hanyalah isu terpencil. Sekarang, kita perlu bercakap mengenai syarikat multinasional gergasi, perusahaan kecil dan sederhana di peringkat global dan sebagainya. Pada waktu ini (di bawah kerajaan PH), jarang kita mendengar pasal SMECorp dan agensi-agensi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar terakhirnya sebagai Naib Canselor UKM di Bandar Baru Bangi, dekat sini hari ini.
Ditanya mengenai kitaran krisis ekonomi global yang dikatakan akan berlaku setiap 10 tahun sekali, Noor Azlan memberitahu perkara itu tidak akan terjadi pada tahun hadapan sebaliknya konsep berkenaan tidak lagi terpakai serta ketinggalan zaman.
Sekarang, menurut beliau, krisis ekonomi global tidak akan berlaku sama seperti berlaku pada 1997 dan 1998 yang merupakan krisis ekonomi sistemik.
Malah, kata beliau, sistem kewangan di negara ini masih kuat dan stabil.
“Dahulu, sistem kewangan dan perbankan kita terdedah kepada faktor luar. Sekarang tidak ada lagi masalah itu. Tetapi, kita tetap perlu berhati-hati. Tidak ada krisis ekonomi tetapi pertumbuhan ekonomi hanya bergerak perlahan. Namun, kerajaan perlu bersedia menghadapi perkara itu,” katanya.










