PUTRAJAYA 28 Dis. – UMNO sepatutnya belajar dari sejarah dan tidak usahlah jadi hidung mancung pipi tersorong-sorong hendak berpakat dengan Pas, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, cerita UMNO berpakat dengan Pas sudah berkurun tetapi tidak pernah berlaku di alam nyata.
Jelasnya, baru beberapa minggu lalu mereka duduk bersama di atas lori di Dataran Merdeka dan pemimpin UMNO dan Pas berpegang tangan dan berpeluk cium sesama mereka.
Bagaimanapun katanya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang beberapa hari lalu membuat kenyataan tidak akan bekerjasama dengan UMNO kerana bahtera UMNO sedang bocor.
“Pas takut bahteranya juga akan karam kalau dilihat terlalu rapat dengan UMNO.
“Apa maknanya ini? Maknanya tiada harapan untuk UMNO berpakat dengan Pas dan Pas bukanlah sebuah parti boleh dipercayai.
“Pas hanya mementingkan partinya sendiri. Ia sebuah parti yang meletakkan Islam pada namanya, tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.
“Jadi, tidak perlulah lagi UMNO bermimpi di siang hari untuk berpajat dengan Pas dan kembali berkuasa,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Persidangan Tahunan Srikandi dan Armada, dua sayap Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini malam ini.
Muhyiddin dalam pada itu turut mengingatkan ahli-ahli Bersatu terutama mereka yang berasa di dalam kerajaan supaya tumpukan sepenuhnperhatian kepada tugas dan tanggungjawab sebagai anggota kerajaan.
“Kurangkan berpolitik, banyakkan bekerja. Berusahalah sehabis daya untuk menyelesaikan segala permasalahan rakyat.
“Sedarlah bahawa rakyat sedang menilai pencapaian kita sebagai kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










