SEREMBAN 26 Dis. – Seorang pemandu ditemukan rentung di dalam sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang terbakar di Taman Jasper Jaya, di sini malam tadi.
Penolong Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.49 malam.
Katanya, seramai lapan anggota bomba serta dua buah jentera tiba di lokasi 10 minit kemudian dan mendapati sebuah kereta terbakar di bahu jalan di Jalan Jasper Jaya 11.
“Kami segera memadamkan kebakaran dan terkejut apabila menemukan mayat rentung di tempat duduk pemandu selepas api dapat dipadamkan dalam tempoh kira-kira lima minit,” katanya ketika dihubungi di sini.
Faizal berkata, pihaknya tidak dapat mengenal pasti identiti termasuk jantina mayat yang rentung 100 peratus dan telah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Menurutnya, sehingga kini pihak bomba dimaklumkan tiada penduduk di kawasan itu mengetahui pemilik kenderaan berkenaan. – UTUSAN ONLINE










