ISTILAH pengorbanan demi kemenangan atau keamanan luas maknanya. Bukan sekadar dikaitkan dengan memikul senjata ke medan perang. Tetapi mencakupi soal kesediaan, kesanggupan dan kerelaan untuk menyumbang dalam apa jua bentuk serta kaedah termasuk tenaga dan fikiran bagi menentukan hadirnya sebuah penyelesaian.
Apa yang diharapkan melalui penyelesaian itu adalah suasana damai, sejahtera, selamat dan kehidupan yang terjamin. Setiap yang bernama insan mengidamkan semua ini. Mencapai segalanya merupakan suatu kejayaan. Namun bukan mudah menggapai hasrat dan cita-cita tanpa pengorbanan.
Dalam al-Quran, ayat 10 hingga 14, Surah al-Saff memperihalkan janji Allah bahawa “kemenangan dapat diperoleh hanya dengan pengorbanan”. Antara yang terkandung di dalamnya bermaksud: “Allah sedia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya serta menyelamatkan manusia daripada azab yang pedih, dan menjanjikan syurga bagi mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka”.
Suasana politik negara ketika ini bukan menagih simpati atau ‘pengorbanan’ besar daripada sesiapa atau mana-mana pihak. Tetapi memadai jika lahirnya kesedaran mendalam untuk merumuskan suatu ‘penyelesaian’ yang lebih kemas, dan tersusun demi menentukan kelangsungan pembangunan negara dan kemajuan rakyat dapat dilaksana dengan berkesan.
Semakin panjang nampaknya jalan cerita bagi episod politik tanah air ketika ini, meskipun Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah melewati tujuh bulan. Sepatutnya, tolehlah pada keperluan secara umum dengan lebih terbuka dan ‘berlapang dada’. Redakan ‘mainan politik’ yang kelihatannya semakin tidak berkesudahan.
Memadai jika ada yang sanggup berkorban mengendurkan ketaksuban terhadap puak dan kelompok sehingga membataskan perhubungan dengan pihak lain atas misi kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
Sedangkan masing-masing melaungkan slogan perjuangan yang sama… demi rakyat, demi agama dan negara! Syabas atas inisiatif Pas dan UMNO yang berjaya merungkai privasi keterlaluan sejak sekian lama dan kini berada pada persada politik yang ‘semakin mesra’.
Sepatutnya suasana ‘persahabatan’ demi kebaikan ummah yang sedang diukir oleh Pas dan UMNO ketika ini menjadi ikutan rakan-rakan seagama dan sebangsa yang lain, biar pun dari ’rumah politik’ berbeza. Apatah lagi jika pada hakikatnya ada parti-parti politik yang dianuti orang Melayu ketika ini berada pada kadar ibarat ‘ke tepi tak sampai, ke tengah dikhuatiri tenggelam…’
Barangkali fenomena ‘melompat’ parti, terutama dalam kalangan mereka yang sudah pun bergelar wakil rakyat (YB) pada akhir-akhir ini juga ada kaitan dengan soal ‘pengorbanan’? Hanya yang terbabit mampu beri jawapan tepat dan jujur.
Tentang niat, mahu pun apa yang mereka katakan sebagai ‘muslihat’ atau ‘strategi’. Cuma persoalan terhadap perbuatan ini bukan semudah untuk dianggap biasa. Persoalannya tetap membabitkan restu dan kerelaan rakyat atau pengundi yang memilih mereka pada PRU-14 lepas.
Jangan ambil mudah (taking for granted) kononnya ada ‘persetujuan’ rakyat di kawasan yang sudah dimenangi, untuk mereka ‘melompat parti’. Khabarnya, tidak sampai 50 peratus pengundi yang mengundi mereka bersetuju mengikut jejak langkah wakil-wakil rakyat menukar parti.
Nilai pengorbanan yang paling mahal adalah pada saat memerlukan. Saat yang dengan sendiri dapat mengukur tahap setiakawan, kesabaran dan semangat juang sejati. Apa salah kalau terus setia, berganding tenaga dan fikiran mencari formula tepat bagi memulihkan parti.
Orang Melayu yang kaya dengan bahasa kiasannya turut menuturkan: “Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran…”. Carilah cara sewajar mungkin untuk menyumbang, bagi memulihkan keadaan.
Jangan sampai pokok itu dibakar atau ditebang. Sebabnya, apa yang penting, buahnya tetap perlu untuk dimakan. Kaitkan hal ini umpamanya dalam isu Lembaga Tabung Haji. Institusi itu sesungguhnya sebahagian daripada lambang kekuatan ekonomi umat Islam di Malaysia.
Dalam banyak hal, khususnya membabitkan kepentingan politik bangsa dan tanah air, rakyat perlu ‘berkorban’ perasaan dan pendirian bersalut ‘dendam’ atau ‘benci’ kepada pola pemikiran yang lebih terbuka agar matlamat menentukan survival bangsa tidak terabai. Sedangkan, ada pihak lain sentiasa ‘bersiap siaga’ menangguk keuntungan.
Tidak tahulah, jika ada mana-mana individu yang bergelar pemimpin pada peringkat-peringkat tertentu, sedia ‘berkorban’ untuk berundur secara ‘rela’ (walaupun tidak suka), jika tindakan seumpama itu dianggap terbaik dan dapat menyumbang kepada penyelesaian sesebuah parti.
Pertimbangan melalui kejujuran sendiri lebih baik dari bertindak atas pandangan dan saranan orang lain.
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air









