KUALA TERENGGANU 31 Dis. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu memberi jaminan bekalan bahan api petrol dan diesel di kesemua 125 stesen minyak di negeri ini mencukupi.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Zulfamy Mat Udi berkata, pemeriksaan yang dilakukan ke atas 101 stesen sejak 27 Disember lalu mendapati rata-ratanya mengikut peraturan ditetapkan dan tidak terputus bekalan berikutan tercetusnya khabar angin pengusaha stesen minyak cuba menghentikan jualan bahan api kepada orang ramai menjelang 1 Januari 2019.
“Di Stesen Minyak Shell di sini misalnya memiliki 14,000 liter stok bahan api untuk jualan harian di samping 30,000 liter stok baharu jadi saya jamin tiada yang terputus bekalan, esok.
“Jika ada mana-mana stesen yang dengan sengaja menutup premis atau gagal memastikan bekalan bahan api mencukupi mereka boleh diambil tindakan di bawah Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya selepas melakukan pemeriksaan di Stesen Minyak Shell, Jalan Sultan Mahmud di sini hari ini.
Menurut Zulfamy, dalam pemeriksaan itu pihaknya turut mengedarkan surat arahan pengawal bagi memastikan bekalan bahan api mencukupi untuk jualan harian pengguna di negeri ini.
Katanya, jika sabit kesalahan syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama atau denda RM5 juta bagi kesalahan kedua.
“Dalam pemeriksaan ini kita memberi tumpuan kepada tiga aspek iaitu bekalan semasa, bekalan seterusnya dan harga semasa,” katanya.
“Sepanjang tahun ini sebanyak dua kes direkodkan melibatkan kesalahan di bawah Peraturan 21 iaitu mengisi minyak dalam tong tanpa permit khas di samping empat kes terputus bekalan tetapi tiada tindakan lanjut diambil kerana siasatan mendapati masalah itu berpunca daripada pengurusan syarikat berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE








