Teknologi data pelengkap hidup - Utusan Malaysia

Teknologi data pelengkap hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA sering terganggu apabila menerima aduan atau komen berkaitan sesuatu isu atau perkara. Mengapa berasa begitu? Adakah kerana apa yang kita lakukan atau keputusan yang kita buat itulah yang terbaik? Adakah kita berasa terancam dengan komen-komen negatif? Jika itulah yang sering menjadi kegusaran, eloklah kita mula berfikir sekali lagi. Tanya diri. Adakah semua komen itu benar-benar mengancam keselesaan? Bagaimana kita dapat mengubah komen negatif itu menjadi positif yang membawa keuntungan kepada diri sendiri?

Jika kita sentiasa melihat hidup ini sebagai suatu peluang untuk menjadi lebih baik, sudah pasti kita berupaya melihat keadaan negatif sebagai suatu peluang. Dunia tanpa sempadan yang dinikmati hari ini telah menjadi pengupaya untuk memperoleh data yang tidak terbatas. Sebagai contoh, suatu ketika, aplikasi Skype hanyalah terhad kepada interaksi bersemuka dalam kalangan ahli keluarga, rakan taulan atau dalam situasi yang lebih peribadi, menjadi medium untuk pasangan kekasih berinteraksi. Ada yang menggunakan aplikasi itu secara positif, ada sebaliknya.

Kini, aplikasi Skype menjadi medium untuk guru-guru dan pensyarah membawa dunia global ke dalam bilik darjah atau bilik kuliah. Interaksi tanpa sempadan telah membenarkan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menyeronokkan, bermakna dan membina serta memberikan kesan jangka panjang kepada generasi kini.

Suatu ketika, ramai yang mengecam mereka yang menggunakan aplikasi seperti Facebook, WhatsApp, Blogspot, Instagram atau Telegram sebagai sesuatu yang membuang masa, sia-sia dan kadang kala memalukan kerana menggunakan platform seperti itu sebagai tempat untuk mencurahkan perasaan marah, sakit hati, benci, gembira dan pelbagai perasaan lagi. Namun, tanggapan itu kini berubah 360 darjah. Kesemua aplikasi tersebut berjaya membuka ruang yang tiada batasan dan menjadi inspirasi kepada pengusaha perniagaan sama ada yang baru bertatih mahu pun syarikat besar yang mengaut keuntungan jutaan ringgit untuk menggunakan semaksimumnya setiap peluang yang dihidangkan oleh teknologi data.

Pendapatan

Masyarakat kita patut mencontohi apa yang dilakukan oleh pemain teknologi yang sangat kompetitif seperti Jack Ma dan rakan niaganya yang mencipta peluang kepada banyak pihak di China untuk membantu rakyat di negara itu yang berjumlah lebih daripada 1.3 bilion dengan membawa teknologi ke daerah-daerah pedalaman. Pada 1994, seluruh China belum ada internet. Kira-kira 800 juta rakyat China tinggal di kawasan pedalaman yang jauh daripada kemudahan teknologi dan prasarana lain.

Selain itu, lebih daripada 200 juta daripada jumlah 800 juta itu adalah mereka yang berpendapat kurang daripada AS$1. Kesan daripada usaha memanipulasi segala komen berkaitan kekurangan yang mengekang kelicinan dunia dagang di negara mereka, akhirnya lebih daripada 80 peratus daripada para petani di seluruh China menjadi pengguna aktif telefon mudah alih.

Dengan teknologi mudah alih yang ada, para petani bukan sahaja dapat memasarkan hasil pertanian secara dalam talian, malah pendapatan mereka telah meningkat berlipat kali ganda. Peluang seperti inilah yang seharusnya direbut oleh masyarakat kita.

Peluang untuk mempelajari dan menguasai techknowledge (pengetahuan teknologi) yang memanipulasi teknologi data perlu menjadi sesuatu yang wajib bagi setiap pelajar di samping meneruskan usaha membangunkan kemahiran insaniah dalam kalangan mereka. Teknologi maklumat melengkapkan diri kita dengan segala maklumat yang diperlukan untuk menjadi sebahagian daripada pemain dalam dunia tanpa sempadan ini.

Sementara teknologi data pula membuka ruang yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini. Revolusi teknologi kini menjadikan cara kita melaksanakan sesuatu tugasan atau urus niaga dengan lebih pantas dan berkesan.

Sekiranya peluang ini tidak disambut dengan tangan terbuka, tidak mustahil kita akan menjadi masyarakat yang ketinggalan jauh di belakang negara dunia ketiga yang agresif mengejar perubahan kehendak dunia globalisasi. Kita perlu berani memiliki mimpi yang lebih besar, lebih hebat dan di luar batas jangkauan akal fikiran.

  • PENULIS ialah Pensyarah Akademik Kanan, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN