KUALA LUMPUR 26 Dis. – Siapa sangka sebuah kedai aksesori telekomunikasi di sebuah daerah di Kelantan dikesan menawarkan khidmat ‘unik’ dengan menjadi pusat gadaian MyKad kepada golongan kesempitan wang.
Apa yang membimbangkan, pengusaha premis berkenaan yang sudah bergerak aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak beberapa tahun lalu, dipercayai mengambil kesempatan dengan memanipulasi maklumat pemilik MyKad untuk tujuan pendaftaran palsu kad sim.
Taktik itu digunakan terhadap individu yang benar-benar terdesak memerlukan wang segera sekali gus memudahkan pengusaha terbabit mendaftarkan kad sim pelanggan lain termasuk pendatang asing yang enggan menggunakan dokumen pengenalan sendiri yang merupakan syarat wajib kerajaan.
Menurut seorang penduduk tempatan, dia pernah menyaksikan bagaimana urusan gadaian itu dijalankan ketika menemani rakan membeli telefon bimbit di premis tersebut.
‘‘Seingat saya, pada waktu itu, ada seorang lelaki 30-an menghulurkan kad pengenalan kepada tauke kedai berkenaan dan tanpa bercakap banyak, tauke itu memberikan wang kira-kira RM100.
‘‘Sejurus menerima wang, lelaki itu terus beredar dan pengusaha terbabit membawa masuk kad pengenalan tersebut, mungkin untuk disimpan di suatu tempat yang lebih selamat atau di luar pengetahuan orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah sumber, tauke tersebut turut licik mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menetapkan tempoh penebusan yang singkat sebelum mengenakan kadar bunga yang tinggi terhadap pemajak.
‘‘Mereka terpaksa membayar kadar faedah tertentu sekiranya penebusan kad pengenalan tersebut dibuat selepas tempoh yang ditetapkan ,” ujarnya.
Dalam pada itu, sumber memaklumkan, kedai terbabit beroperasi melebihi 15 jam sehari dan akan tutup kira-kira pukul 3 pagi.
‘‘Bagi urusan gadaian, kebanyakan pelanggan mengunjungi premis berkenaan pada lewat malam hingga awal pagi.
“Saya yakin, sudah ramai yang menjadi ‘mangsa’ urusan gadaian licik itu termasuk ‘mat gian’ yang terdesak inginkan wang dengan segera bagi membeli ‘stok’ mereka,” ujarnya.










