Saya berada di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada malam Isnin 12 November apabila diberitahu bahawa Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) dikejarkan ke Hospital Putrajaya. Saya bergegas ke sana. Di bilik kecemasan beliau masih mengenali saya, memegang tangan saya, ingin bercakap sesuatu, tetapi suaranya kurang jelas.
Pada hari Ahad sebelumnya, Allahyarham sepatutnya bersama-sama kami di sebuah kedai mamak di Malayan Mansion, di sekitar Masjid India, Kuala Lumpur. Bekas wartawan Utusan Melayu akan berkumpul di situ untuk sesi teh tarik, mi siam atau roti canai. Itu tradisi yang dimulakan oleh Tan Sri Zam sejak sekian lama. Tetapi beliau tidak sampai pagi itu oleh sebab banyak jalan ditutup kerana acara larian. Pada hari sebelumnya, 10 November, beliau mengetuai rombongan melawat Salleh Hamzah dan Wan Hamzah Awang (Wahba), kedua-duanya bekas wartawan Utusan, yang sakit di rumah mereka.
Pada 14 Disember, 32 hari setelah dimasukkan ke hospital beliau menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Serdang.
Darah dalam tubuhnya adalah darah wartawan. Sejak menjadi stringer Utusan Melayu di Alor Star pada usia 18 tahun, beliau tidak pernah menoleh ke belakang. Kemuncak kariernya adalah menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu pada tahun 1982. Utusan Melayu adalah sekolah dan universiti beliau. Wajarlah beliau diberi amanah menulis buku Di Depan Api Di Belakang Duri: Kisah Sejarah Utusan Melayu yang terbit pada tahun 2013.
Beliau masuk politik mungkin secara kebetulan. Beliau pernah menjadi menteri selama dua tahun di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mungkin itu bukan bidang yang disenanginya, tidak hairanlah beliau menulis buku Saya Bukan Menteri yang merakamkan rasa gelisah dan tidak selesanya dalam dunia itu.
Peristiwa kemasukan saya ke Utusan Melayu pada 1 November 1992 sebagai Ketua Pengarang tentunya penuh dengan pelbagai teori dan andaian. Saya tahu Zam terguris cara beliau disingkirkan. Beliau dijadikan Penasihat saya, jawatan yang beliau tahu tidak membawa sebarang makna. Tidak lama kemudian saya menghantar beliau ke London sebagai wakil Utusan. Saya sering berutus surat dengan beliau. Persahabatan kami tidak terjejas.
Saya dipaksa meninggalkan Utusan pada 14 Julai 1998, tiga bulan sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim disingkirkan. `Pembersihan’ di Utusan Melayu dibuat terlebih dahulu sebelum Berita Harian dan TV3. Saya, Datuk Nazri Abdullah (BH) dan Yunus Said (TV3) dikatakan `orang kuat’ Anwar dalam media. Zam kembali berkuasa di Utusan Melayu pada tahun 1998, dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dan seterusnya Timbalan Pengerusi Eksekutif. Saya duduk di luar dengan stigma yang luar biasa. Utusan membuat pendirian tegas menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam krisis 1998 itu.
Namun demikian Zam tidak melupakan kawan. Apabila beliau menjadi Timbalan Menteri Penerangan, beliau memberikan ruang untuk saya membuat wawancara dalam TV1, bermula dengan `Soal Jawab’ dan kemudiannya `Debat Perdana’. Saya juga ditugaskan oleh beliau atas arahan Abdullah untuk pergi ke Indonesia bersama-sama Timbalan Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Kami menemui pimpinan media di sana.
Pada waktu itu hubungan di antara kedua negara amat tegang ekoran Peristiwa Ambalat dan penganiayaan ke atas pembantu rumah bernama Nirmala Bonat. Saya mengasaskan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami).
Apabila saya meninggalkan jawatan Pengerusi Media Prima Berhad pada Ogos 2015, saya punya lebih banyak masa. Saya lebih kerap bersama beliau di Masjid India setiap pagi Ahad. Atau ke mana-mana tempat `mengeteh’ yang disukainya baik di Putrajaya atau di Bangsar. Apabila saya memulakan grup WhatsApp untuk bekas wartawan Utusan Melayu (Buletin Suara Keramat atau BSK) , beliau orang pertama menjadi ahlinya.
Hatinya masih pada Utusan. Usah pertikaikan ingatannya pada Utusan. Ada pihak yang kecewa beliau sering mengkritik Utusan sama ada dalam blognya (zamkata.blogspot.com) dan akaun Twitternya (@ZainuddinMaidin). Beliau menganggap Utusan telah lari daripada matlamat asalnya. Kritikannya terhadap Utusan semakin lantang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14. Saya juga punya kekecewaan terhadap Utusan tetapi saya tidak pernah mengkritik secara terbuka sejak saya meninggalkan Utusan 20 tahun lalu.
Namun pada Jun lalu saya dan Zam mengeluarkan kenyataan media bersama mengecam Utusan kerana pendiriannya dalam isu cadangan pelantikan Peguam Negara yang baharu.
Dalam kalangan petugas Utusan Melayu yang pernah bekerja dengannya, beliau memancarkan imej ketua yang garang malah ditakuti. Saya selalu menceritakan bagaimana seorang petugas yang menjaga layout muka satu mengambil masa setahun untuk membiasakan diri memanggil saya “Encik Johan” dan bukan “Encik Zam”.
Tetapi ada sudut yang tidak banyak diketahui orang tentang beliau. Beliau seorang yang lembut malah romantik. Beliau juga menulis puisi. Dan akhir-akhir ini kawan-kawan dalam grup WhatsApp BSK sering membaca posting yang berupa nostalgia beliau tentang masa lalu, tentang Utusan Melayu, tentang kawan-kawan dan orang yang pernah mencuri hatinya.
Dalam portal berita terbaharu yang diasaskan oleh 22 orang bekas wartawan Utusan, bebasnews.my, juga dalam belasungkawa saya dalam akhbar The Star, saya mengatakan bahawa beliau adalah true-blue journalist. Beliau seorang crusader menentang apa sahaja yang pada pendapatnya boleh menjumud dan melemahkan orang Melayu. Di bawah pimpinan beliau, akhbarnya menjuarai isu yang dianggap sensitif oleh banyak pihak satu ketika itu – menentang ekstremisme agama, pendirian cauvinis Melayu dan pimpinan agama dan politik yang mendalangi Islam.
Sehingga penghujung hayatnya keterbukaan dan kedegilannya memperjuangkan apa yang diyakini masih ketara. Malah beberapa hari sebelum beliau meninggal, di atas katil sakitnya, tanpa upaya menulis sebaliknya meminta seorang anggota keluarga mencatatkan sesuatu, beliau masih mahu membuat teguran terhadap situasi politik semasa.
Zam pergi dengan semangat kewartawanan yang tidak pernah luntur. Beliau sememangnya bintang gemilang di persada dunia kewartawanan negara. Selamat tinggal sahabatku!
Al-Fatihah!










