Tampilkan bakat baharu dalam UMNO - Utusan Malaysia

Tampilkan bakat baharu dalam UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Dis.- Barisan kepemimpinan UMNO perlu mencerminkan kekuatan parti itu di peringkat akar umbi supaya dapat menjadi sebuah parti yang kembali menerajui pemerintahan negara pada masa akan datang.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhamad Nadzri Mohamed berkata, kekuatan UMNO pada hari ini sebenarnya adalah terletak kepada ahli dan penyokong-penyokong UMNO yang kekal setia dengan parti itu sehingga kini.

“Golongan ini sebenarnya amat besar jumlahnya dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga kini dilihat masih gagal untuk menarik sokongan dan mempengaruhi kumpulan ini.

“Sebab itu saya berpandangan, barisan kepemimpinan UMNO di bawah Datuk Seri Mohamad Hasan mestilah mencerminkan kekuatan yang ada pada mereka itu. UMNO mesti mempunyai bakat baharu dari kumpulan tersebut, ramai di antara mereka yang berkaliber tetapi tidak dapat menonjol kerana terhalang oleh budaya lama dalam UMNO,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Dr. Muhamad Nadzri, UMNO sebelum ini banyak merekrut pemimpin-pemimpin pelapis yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar lepasan universiti dari dalam dan luar negara, oleh itu inilah masanya untuk mengumpulkan kesemua mereka untuk menjadi tulang belakang UMNO.

“Namun, golongan akan gagal ditonjolkan jika menerusi pemilihan dalam parti, mereka akan kalah kerana tidak mempunyai jaringan yang kukuh di peringkat bahagian mahupun cawangan.

“Oleh itu, Mohamad yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO perlu menggunakan kuasa yang ada meletakkan orang-orang berkualiti dan berkaliber termasuk dalam kalangan Pemuda UMNO untuk turut sama memimpin parti,” katanya.

Pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berpandangan, UMNO perlu dipimpin oleh individu-individu yang sedia berkorban untuk parti.

“Dalam sesuatu perjuangan mestilah ada pengorbanan, perjuangan bukanlah tujuannya untuk mendapatkan balasan, jadi UMNO mesti kembali kepada perjuangannya dan mereka yang berada dalam UMNO mesti bersama dalam aspirasi itu.

“Mereka tidak boleh lagi mengharapkan balasan dalam perjuangan bersama UMNO sebaliknya mereka pula perlu berkorban. Jika mereka tidak bersedia untuk berkorban, ungkapan perjuangan yang dilaung-laungkan hanyalah satu retorik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN