LONDON – Ole Gunnar Solskjaer menerima ‘tamparan’ pertamanya sebagai pengendali sementara Manchester United selepas penyerang utama, Romelu Lukaku dilaporkan akan terlepas dua perlawanan awal di bawah kendaliannya termasuk pertemuan Liga Perdana England (EPL) dengan Cardiff, awal pagi esok.
Difahamkan Lukaku diberi cuti ihsan minggu ini dan akan terlepas aksi sepanjang Boxing Day termasuk menentang Bournemouth 30 Disember ini.
Alasan penyerang Belgium itu diberi cuti ihsan bagaimanapun tidak didedahkan.
Berita ini sudah pasti menjadi satu tamparan hebat buat Solskjaer, 45, yang memulakan tugasnya bagi tempoh enam bulan di Old Trafford, kelmarin.
Bagaimanapun, Solskjaer masih memiliki dua penyerang iaitu Marcos Rashford dan Anthony Martial serta dijangka menurunkan semula perancang, Paul Pogba pada aksi dengan Cardiff pagi esok.
Pogba sebelum ini merupakan pemain yang paling kerap bertelagah dengan bekas pengurus, Jose Mourinho dan turut diketepikan dalam tiga perlawanan terakhir United.
Namun, Solksjaer menegaskan semua pemain pasukannya kini berpeluang untuk memulakan ‘buku baharu’ apabila diberi kepercayaan membuktikan kemampuan masing-masing pada baki saingan musim ini.
“Semua pemain skuad ini tahu peluang mereka kembali terbuka kerana apa yang telah berlaku, sudah pun berlaku.
“Mereka perlu buktikan bahawa mereka layak bermain untuk United,” jelas Solskjaer. – Agensi










