MELAKA 28 Dis. – Kemajuan sesebuah negara amat bergantung kepada tahap intelektual rakyatnya khususnya golongan muda.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sepertimana yang dikatakan oleh Dr. Yusuf Qaradhwi, ”Jika pemuda diibaratkan dengan sinaran cahaya matahari maka samalah pada kecerahan dan keterikan pada jam 12 tengah hari”.
Baginda bertitah, demikianlah perumpamaan yang dikaitkan dan menjelaskan betapa pentingnya golongan remaja yang berkembang dengan begitu istimewa dalam masyarakat kerana mereka adalah pencetus hala tuju negara di masa akan datang.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah ketika berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ihsan, Bukit Baru, Melaka tengahari tadi.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh pengerusi jawatankuasa masjid berkenaan yang juga Pengarah Urusan Sinar Jernih Sdn Bhd, Datuk Mohd Said Osman serta ahli-ahli jawatankuasa masjid.
Hadir sama ialah Personaliti ‘Tanyalah Ustaz’ TV9, Ustaz Salahuddin Datuk Mohamed.
Baginda turut mengingatkan golongan remaja khususnya bahawa sebagai persediaan untuk cabaran-cabaran di hari yang mendatang, sebagai contoh pelajar hendaklah mempersiapkan diri dalam persaingan bagi mendapat tempat di menara gading yang semakin sengit lantaran ramai anak-anak muda kini memiliki tahap intelek yang cemerlang. – UTUSAN ONLINE










