KOTA BHARU 23 Dis. – Sebanyak 11 daripada 14 cabang PKR negeri ini mengesahkan mereka menyokong pelantikan Datuk Seri Mohamad Supardi Md. Noor sebagai Pengerusi PKR Kelantan yang baharu.
Selain Cabang PKR Tanah Merah yang diketuai Mohamad Suparadi sendiri, cabang lain yang menyokong beliau ialah Pasir Puteh, Bachok, Machang, Kota Bharu, Tumpat, Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas, Gua Musang dan Pengkalan Chepa.
Baki tiga Cabang PKR yang tidak menyokong atau belum mengesahkan sokongan terhadap Pengerusi Tekun Nasional itu ialah Ketereh, Kubang Kerian dan Rantau Panjang.
Ketua Cabang PKR Pasir Puteh, Ismail Muhamad yang mewakili kumpulan penyokong Mohamad Suparadi berkata, majoriti cabang PKR di Kelantan menyokong pelantikan itu kerana beliau memenuhi tiga kriteria utama yang diingini parti.
Pertama katanya, Mohamad Suparadi mempunyai hubungan baik dengan pihak istana dan perkara itu penting bagi memudahkan pelbagai urusan PKR di negeri ini.
“Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Orang Besar Negeri Kelantan serta merupakan seorang Jaksa Pendamai. Maka di sini, hubungan beliau dan pihak istana boleh dianggap intim,” katanya dalam sidang akhbar khas bagi menyatakan sokongan kepada Mohamad Suparadi di sini hari ini.
Sidang akhbar itu dibuat sebagai respons terhadap tindakan sekumpulan ahli PKR negeri ini yang membantah pelantikan Mohamad Suparadi sebagai Pengerusi PKR Kelantan yang baharu serta mendesak Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkaji semula perkara itu
Mengulas lanjut, Ismail menambah, kriteria kedua dan ketiga pula ialah Mohamad Suparadi mempunyai hubungan baik dengan dua pemimpin penting iaitu Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad serta Anwar sendiri.
“Dengan tiga kriteria utama ini mengapa kita tak boleh beri sokongan yang padu? Ini yang perlu kita perhatikan dan lihat serta fikirkan bersama,” katanya.
Ismail turut memberitahu, kelemahan tadbir urus pimpinan terdahulu menyebabkan PKR gagal menjadi parti dominan dalam kalangan komponen Pakatan Harapan (PH) di Kelantan walaupun parti itu sudah lama bertapak di negeri ini.
Katanya, perubahan harus dilakukan dan semua pihak dalam PKR wajar berlapang dada jika ingin merampas negeri ini daripada Pas dalam pilihan raya akan datang. – UTUSAN ONLINE










