MELAKA 7 Dis. – Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kekecewaan terhadap sikap orang Melayu yang kini dilihat beransur-ansur lemah, hilang semangat ukhuwah dan jati diri hanya kerana bersaing merebut kuasa.
Titah baginda, orang Melayu telah terperangkap dalam perlumbaan menconteng arang sesama mereka sehingga masing-masing ghairah menepuk air di dulang dan airnya semakin terpercik ke muka sendiri.
“Budaya berpolitik yang sedang berlaku di bumi warisan bangsa ini telah menjelmakan ketaksuban baharu, menghidupkan budaya asabiah.
“Ia juga menganjurkan pemikiran yang lebih mengutamakan kesetiaan kepada kumpulan daripada kepentingan menerima kebenaran, mencanai minda yang lebih mementingkan kumpulan, daripada kelangsungan ummah yang lebih menyeluruh,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berkenan menyampaikan watikah kepada Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Hakim Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Syariah Melaka di Hotel Equatorial di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, baginda berkenan menganugerahkan watikah kepada 15 Ahli MAIM dan 21 Hakim Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Syariah negeri ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob; Ahli Jemaah Pemangku Raja Perak, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.
Titah Sultan Nazrin, Islam telah membina umat Melayu yang berdisiplin, amanah, jujur, luhur dan ikhlas sehingga dapat membina ukhuwah menjadi teguh dan muncul sebagai umat yang kuat.
“Tetapi hari ini umat Melayu kelihatan beransur lemah, kerana umat Melayu telah kehilangan semangat ukhuwah, umat Melayu telah lemah jati diri, umat Melayu semakin hanyut dalam perlumbaan kebendaan, umat Melayu semakin mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa,” titah Sultan Nazrin.
Sehubungan itu, baginda mengingatkan agar peristiwa yang berlaku di zaman Ibnu Khaldun yang mencatatkan perpecahan politik dan perebutan kuasa yang amat dahsyat di Afrika Utara dan Andalusia sehingga mengakibatkan kejatuhan tamadun dan pemerintahan Islam tidak berlaku.
Ibnu Khaldun menyaksikan kesediaan pemerintah melakukan apa sahaja untuk memastikan kuasa berada di tangan mereka, termasuk memperalatkan para ulama.
Baginda bertitah, ulama yang pada era kegemilangan Islam, bersifat jujur, ikhlas namun sebahagiannya telah tergoda dengan kemegahan harta, jawatan dan gelaran sehingga bertukar serta membenarkan diri menjadi pemanfaatan bagi kepentingan peribadi umara tertentu.









