Skim Perlindungan Nasional B40 bermula 1 Januari - Utusan Malaysia

Skim Perlindungan Nasional B40 bermula 1 Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 28 Dis. – Perlindungan di bawah Skim Perlindungan Nasional B40 akan bermula pada 1 Januari ini manakala pendaftaran dan perkhidmatan sokongan pelanggan skim itu akan beroperasi pada 1 Mac tahun depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pendaftaran boleh dilakukan secara elektronik melalui internet tanpa penggunaan borang kertas dan tiada pemeriksaan perubatan diperlukan untuk pengesahan kelayakan.

“Semua penerima yang layak di bawah skim ini akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Maklumat lanjut tentang mekanisme dan pelaksanaan skim ini akan dihuraikan apabila ia dilancarkan secara rasmi pada awal tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2019 berhasrat untuk memperkenalkan Skim Perlindungan Nasional B40 pada 1 Januari depan dengan dana permulaan sebanyak RM2 bilion.

Skim itu jelas Guan Eng, akan menawarkan perlindungan insuran dan takaful kesihatan secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 yang berkelayakan sebagai bantuan menghadapi cabaran yang timbul daripada masalah penyakit kritikal dan menjalani rawatan hospital yang boleh menjejaskan aliran pendapatan isi rumah mereka.

Menurutnya, skim terbabit akan menyediakan perlindungan kesihatan secara percuma kepada penerima yang layak untuk 36 jenis penyakit kritikal.

Tambahnya, penerima akan mendapat bayaran sehingga had RM8,000 yang diagihkan dalam tempoh masa yang akan diumumkan.

“Skim ini juga memberi bayaran harian sebagai pendapatan gantian semasa rawatan hospital untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun pada kadar RM50 sehari atau bersamaan dengan RM700 setahun.

“Dengan saiz dana sebanyak RM2 bilion sebagai permulaan, skim ini dijangka akan menawarkan perlindungan perubatan selama lima tahun untuk kumpulan sasaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN