KUALA LUMPUR 28 Dis. – Datuk C.Sivarraajh tidak boleh dipilih dalam mana-mana pilihan raya bagi tempoh lima tahun bermula dari 13 Disember lalu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun mengumumkan status kelayakan tersebut berkata, Naib Presiden MIC itu juga tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya.
“Keputusan itu dibuat setelah mengkaji keseluruhan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu dan Perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 36 (2)(a).
“Di samping itu, Laporan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bertarikh 13 Disember lalu serta pandangan undang-undang mengikut Akta 5,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Azhar, SPR akan mengambil langkah-langkah yang wajar seperti yang diperuntukkan di bawah akta dan peraturan berkaitan pilihan raya.
Pada 18 Disember lalu, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran memaklumkan Sivarraajh merupakan antara calon yang akan disenarai MIC untuk dipertimbangkan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.
Hari pengundian PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari depan dengan hari penamaan calon pada 12 Januari dan mengundi awal pula pada 22 Januari. – UTUSAN ONLINE.










