TAIWAN seringkali diketepikan oleh pelancong Malaysia berbanding pilihan ke Korea dan Jepun.
Negara dengan penduduk seramai 23 juta orang ini mungkin tidak mampu menyaingi budaya K-Pop dari Korea atau manga dan anime dari Jepun. Namun daripada segi alam semulajadi, sejarah, makanan dan taman tema, negara ini tidak kurang hebatnya.
Itu kesimpulan penulis yang mengikuti proram Salam Taiwan anjuran Biro Pelancongan Taiwan baru-baru ini. Ada beberapa destinasi yang tidak patut anda lepaskan di negara pulau ini.
MISTERI ALAM
Jika anda seorang pencinta alam semula jadi terdapat beberapa destinasi yang wajib anda kunjungi. Antaranya Formosan Aboriginal Culture Village seluas 62 hektar. Terletak di pergunungan Nantou di tengah-tengah Taiwan, cahaya matahari yang memancar di sebalik pohon-pohon sakura menambahkan lagi pesona romantik perkampungan budaya ini.

KAUM asli Taiwan dengan berpakaian tradisional mereka yang unik di Perkampungan Budaya Aboriginal Formosan. Perkampungan orang asli Taiwan ini begitu indah dengan pohon-pohon ceri yang berbunga kembang ketika musim bunga.
Selain melihat keunikan rumah kaum asli seperti set pengambaran filem klasik, jangan lepaskan peluang menghayati persembahan tarian dan nyanyian suku kaum Paiwan, Rukai, Ami Tao, Puyuma, Bunun, Tsou, Atayal, Seediq, Truku, Saisat dan Kavalan. Walaupun tidak memahami bahasanya, namun melodi yang dilantunkan cukup menyentuh jiwa.

Di pergunungan Nantou ini juga terletak tasik Sun Moon sedalam 17 meter dan berkeluasan 7.93 kilometer. Pergunungan menghijau dengan pohon sakura yang menjadi latar tasik berwarna hijau jernih bak batu jed ini menambahkan keayuannya. Tasik penuh misteri ini diiktiraf antara lapan keajaiban di Taiwan dan mendapat nama disebabkan bentuknya menyerupai matahari di sebelah timur dan bulan sabit di sebelah barat.

Jika suka berbasikal santai, pengunjung boleh singgah di Houfeng, Taichung yang mana terletaknya jambatan besi Hualing dan terowong nombor 9 yang sebelum ini dibina untuk laluan kereta api dengan keringat dan darah pada era penjajahan Jepun. Kini lokasi tersebut telah diubah menjadi trek berbasikal.

Tidak boleh dinafikan mengayuh basikal dalam terowong nombor 9 sepanjang 1,273 meter itu cukup mengujakan.
PAM ADRENALIN
Bagi yang sukakan cabaran, kelajuan dan ketinggian boleh ditemui di Taiwan. Negara ini mempunyai lebih 20 taman tema. Antara yang wajib dikunjungi ialah Taman Tema Leofoo Village di Hsinchu. Ini taman tema terbesar di Taiwan dan satu-satunya di Asia yang mengambungkan taman permainan dan safari.
Taman tema ini dibahagikan kepada lima bahagian iaitu African Safari, Arabian Kingdom, South Pacific, Wild West dan Taman Air. Antara yang patut dicuba ialah screaming condor iaitu permainan roller coaster yang akan membuatkan anda rasa seperti mahu tercampak ke langit. Dek kerana terlalu laju dan tingginya roller coaster ini, penulis percaya pengunjung yang gemarkan kepantasan dan ketinggian pasti akan merasa satu bentuk keterujaan.
Jika ingin menguji ketangkasan memandu, cubalah permainan go-kart di Lihpao Land, Taichung. Trek yang disediakan bertaraf antarabangsa. Selekohnya yang tajam benar-benar menguji keupayaan pemandu.

Di sini juga terdapat roda ferris tertinggi dan terbesar di Taiwan dinamakan Sky Dream. Menaiki Sky Dream pada waktu malam untuk melihat keindahan bandar Taichung sememangnya mengasyikkan.
PERKAMPUNGAN PELANGI
Berkunjung ke Rainbow Village di Taichung tidak kurang menariknya. Di kampung tersebut dihiasi dengan lukisan figura dan makhluk mitos Taiwan yang unik. Suatu ketika dahulu Rainbow Village merupakan salah sebuah perkampungan untuk bekas tentera pejuang kemerdekaan Taiwan.

Namun arus kemajuan telah menyebabkan semua perkampungan sekitar dirobohkan untuk tujuan pembinaan bangunan baharu kecuali Rainbow Village yang masih kukuh berdiri hasil pejuangan Huang Yung-Fu.
Usaha Yung-Fu yang kini berusia 93 tahun melukis dan mengecat perkampungan ini akhirnya menjadi hasil satu seni yang menarik untuk tujuan pelancongan di Taiwan.
Akhir sekali, selain melawat bangunan kedua tertinggi di dunia, Taipei 101 anda perlu menjejakkan kaki ke pasar malam terbesar di Taipei, Shilin Night Market.
Ini adalah destinasi terbaik untuk menamatkan pengembaraan di Tapei kerana semua barangan yang anda mahu di Taiwan daripada batu jed sehinggalah magnet peti ais terdapat di sini. Tak perlu tawar menawar kerana harga yang diberikan adalah berpatutan.
* Pembaca boleh menyumbang artikel destinasi kepada [email protected]










