KUALA LUMPUR 21 Dis. – Beberapa panel siling Plaza Tol Rawang Selatan di Lebuh Raya Utara Selatan menghala Lebuh Raya Guthrie, di sini runtuh dalam kejadian ribut petang tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, runtuhan berlaku di lorong ‘Touch & Go’ dan lorong ‘Smart Tag’ kira-kira pukul 4.30 petang.
“Kejadian itu tidak melibatkan kenderaan mahupun kemalangan jiwa.
“Pihak penyelenggara lebuh raya sedang dalam proses mengalihkan sisa runtuhan tersebut,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Sementara itu, PLUS dalam satu kenyataan berkata, lorong berkenaan telah ditutup sementara kepada lalu lintas bagi memudahkan pihak PLUS menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan.
“PLUS juga ingin memaklumkan bahawa pemeriksaan terakhir pada semua bangunan di plaza tol tersebut telah dilaksanakan pada 18 November lalu.
“Selepas kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan keselamatan dijalankan, kita telah membuka kesemua lorong di plaza tol terbabit kepada orang ramai pada pukul 7.45 malam. – UTUSAN ONLINE










