JOHOR BAHRU 27 Dis. – Srikandi Harapan Resources (SHR) optimis dalam memperjuang serta bertindak sebagai suara baharu kepada golongan kurang bernasib baik di negeri ini.
Pengasasnya, Norhayati Mohamad berkata, SHR yang diluluskan oleh Pendaftaran Pertubuhan (ROS) baru-baru ini merangka pelbagai program khusus bagi membantu meringankan beban golongan itu.
Menurutnya, program itu adalah membabitkan penyediaan ruangan tempat berniaga khusus kepada mereka yang berpendapatan rendah dan ibu tunggal.
“Kita juga mendapat sokongan daripada Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Johor dan Konsortium Peruncitan South Mart (SM) untuk menjayakan program ini.
“Buat masa ini lokasi dan jumlah peniaga yang mahu terlibat masih diperincikan, ini sebagai usaha kecil kami dalam membantu golongan ini merubah nasib serta memberikan mereka pendapatan tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Sumbangan Kasih Salam Malaysia Baru di pusat beli-belah Capital City, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd. Izhar Ahmad dan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) negeri, Mohamad Ali Taib.
Norhayati berkata, selain inisiatif itu, pihaknya juga akan aktif dalam kerja kemasyarakatan terutamanya dengan melakukan aktiviti pemberian bantuan keperluan asas.
“Kita akan mula dengan bantuan memberikan kemudahan asas dahulu, mungkin dengan bantuan kenalan dan JPW sendiri kita boleh kesan mereka yang terlepas pandang ini,” katanya.
Mengulas mengenai program Sumbangan Kasih Salam Malaysia Baru itu, beliau berkata, seramai 150 pelajar daripada keluarga asnaf sekitar bandar raya ini dipilih menerima barangan keperluan untuk memulakan sesi persekolahan bulan depan.









