ABU DHABI 28 Dis. – Serena Williams tidak berminat untuk mengulas tentang insiden membabitkan dirinya pada perlawanan akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan dia tewas kepada Naomi Osaka, September lalu dan lebih selesa menghalakan fokusnya kepada perkara yang lebih baik dan besar, kata bintang tenis AS itu di Abu Dhabi, semalam.
Dalam penampilan sulungnya sejak insiden kontroversi di New York itu, Williams tewas kepada kakaknya Venus 4-6, 6-3, 10-8 pada perlawanan pertunjukan di ibu negara Emiriah Arab Bersatu dan kini, dia akan terbang ke Perth bagi menyertai Piala Hopman di samping rakan senegaranya, Frances Tiafoe.
Ketika ditanya sama ada perlawanan akhir Terbuka AS adalah topik yang mahu dielaknya menjelang musim baharu, Serena berkata: “Saya tidak mengelak. Saya cuma tiada masa untuk bercakap tentangnya. Saya ada mengulas mengenai perkara itu, semua orang juga bercakap tentangnya selama beberapa bulan. Lebih baik kita beralih kepada perkara yang lebih besar dan baik.”
Bekas pemain No. 1 dunia itu berkata, dia kini hanya mahu memberi tumpuan kepada sasaran menyamai rekod Margaret Court iaitu 24 gelaran Grand Slam bagi musim 2019.
Sebanyak dua kali Williams terlepas peluang untuk menyamai rekod Court pada 2018, setelah dia tewas pada final Wimbledon dan Terbuka AS.
“No. 24 amat penting untuk saya sejak merangkul Grand Slam ke-22, dan kemudian ke-23. Ia satu pencapaian yang saya dambakan,” kata Serena. – AFP










