Sepasang ular sawa batik sedang mengawan ditangkap bomba TLDM - Utusan Malaysia

Sepasang ular sawa batik sedang mengawan ditangkap bomba TLDM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT – Sepasang ular sawa batik sepanjang kira-kira lima meter dengan anggaran berat lebih 100 kilogram setiap seekor berjaya ditangkap sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini tengah hari tadi. 

Kedua-dua ular sawa berkenaan dipercayai sedang mengawan itu ditemui seorang anggota TLDM yang sedang bertugas di kawasan hutan berhampiran kira-kira pada pukul 12 tengah hari sebelum melaporkannya kepada pegawai atasannya. 

Pegawai TLDM tersebut, Leftenan Komander Meor Fuad Zakaria berkata, pihaknya tidak menyangka haiwan yang disangka kecil itu memerlukan kekuatan 10 anggota bagi menariknya keluar dari semak berkenaan. 

“Kita hanya lihat ekor yang kecil salah satu daripada ular berkenaan. Bagaimanapun, ketika usaha menariknya keluar, beberapa anggota diperlukan untuk mengangkatnya. 

“Operasi mengeluarkan kedua-dua ekor ular berkenaan mengambil masa lebih 30 minit sebelum ia berjaya ditangkap,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi. 

Tambah Meor Fuad, ular-ular tersebut kini disimpan sebelum ia akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) esok. 

Ular
Anggota Bomba dan Penyelamat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cuba menenangkan ular sawa yang berjaya ditangkap.

Katanya, haiwan tersebut tidak bertindak agresif ketika operasi dijalankan dan pihaknya juga melakukan operasi itu dengan berhati-hati termasuk menyiramnya dengan air. 

“Habitat ular adalah ditempat sejuk dan ia mudah agresif bila panas.  

“Sepanjang empat tahun bertugas, ini pengalaman pertama anggota menangkap ular sawa sebesar ini. Biasanya kita menerima laporan membabitkan ular bersaiz kecil,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×