KUALA LUMPUR 19 Dis. – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Falah Biz Sdn. Bhd. akan menganjurkan sambutan tahun baharu di Dataran Merdeka di sini pada 29 Disember depan.
Program yang bertemakan 2019 Tahun Soladiriti Kemanusiaan – A Journey of Nur itu bermula dari pukul 5 petang sehingga 12 tengah malam.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, tujuan diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan antara kaum, menanamkan semangat perpaduan dan nilai kebersamaan serta kemanusiaan dalam kalangan masyarakat.
“Masyarakat kini sedang melalui zaman yang sangat muram dan mencemaskan dengan pelbagai krisis serta bencana yang berlaku.
“Kesannya, sambutan ambang tahun baharu tidak membawa erti yang terlalu tinggi kepada segelintir masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Azmi, pihaknya mengajak orang ramai turut sama memeriahkan program berkenaan untuk membuktikan Malaysia sebagai sebuah negara harmoni yang bersedia menterjemahkan konsep rahmat ke seluruh alam.
“Pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berlangsung antaranya persembahan oleh artis terkenal, kumpulan nasyid, pidato, forum serta pameran agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










