KUALA LUMPUR 28 Dis. – Sambil menyelam sambil minum air! Bukan sekadar sebagai persediaan pra-musim Liga Perdana 2019, bahkan Selangor United menjadikan setiap perlawanan persahabatan sebagai medan memilih tonggak import yang benar-benar menepati falsafah bola sepak mereka.
Tujuh perlawanan terdahulu di sekitar Lembah Klang dan Temerloh menyaksikan beberapa pemain dari Korea Selatan dan Mesir diuji Abdul Talib Sulaiman, namun, masih terlalu awal untuk ketua jurulatih Selangor United itu memutuskan siapa yang terpilih.
Setiausaha Selangor United, Mohd. Nizam Hashim berkata, pihaknya masih dalam peringkat mencuba dan sukar membuat kata putus lagi siapa pemain import yang terpilih.
“Pertimbangannya juga perlu mengambil kira belanjawan pasukan musim 2019. Kamipun bukanlah pasukan kaya yang sanggup membeli bintang-bintang berpengalaman, tetapi perlu diakui Liga Perdana memang jauh berbeza dengan Liga FAM yang kami harungi sejak 2016 hingga muncul naib juara 2018.
“Apa yang penting kami kena sentiasa berbelanja berhemah dan bertekad untuk tidak menjadi pasukan yang bermasalah dengan tunggakan gaji pemain, mahupun pegawai di kemudian hari,” katanya.
Sebagai naib juara Piala FAM 2018, Selangor United layak automatik ke Liga Perdana 2019, namun, penyertaan penyandangnya, Terengganu City ditolak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana masalah tunggakan gaji pemain.
Penggantinya ialah juara Piala Cabaran 2018, Terengganu FC yang mulanya diturunkan ke Piala FAM 2019 kerana menghuni tempat corot Liga Perdana 2018, manakala Perlis disahkan MFL turut dinaikkan ke dalam saingan divisyen dua kebangsaan ini.










