SHAH ALAM – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyambut baik hasrat kerajaan negeri Selangor untuk mengurangkan penggunaan penyedut minuman plastik di premis-premis makanan di seluruh negeri itu.
Timbalan Presidennya, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, tindakan kerajaan negeri itu amat baik untuk kelestarian alam sekitar dalam usaha mendidik pengguna ke arah bebas plastik.
“Ini adalah langkah terbaik untuk mendidik pengguna supaya mereka perlahan-lahan dapat mengurangkan penggunaan penyedut minuman plastik.
“Bagaimanapun, kempen ini tidak akan berjaya sekiranya pihak kerajaan tidak menyediakan alternatif yang sesuai kepada pengguna bagi menggantikan penggunaan penyedut minuman plastik.
“Apabila kempen ini dilaksanakan tahun depan, kerajaan negeri perlu menjalankan kempen penggunaan penyedut minuman yang dibuat daripada bahan yang boleh dikitar semula atau boleh digunakan semula seperti besi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.










