KUALA LUMPUR 16 Dis. – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menggesa kepimpinan tertinggi parti itu mengadakan segera mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, mesyuarat berkenaan akan menentukan hala tuju UMNO yang kini berdepan krisis dalaman amat genting.
“Dalam situasi yang penuh tidak ketentuan dan kebimbangan, saya menggesa kepimpinan tertinggi UMNO untuk segera memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi.
“Jaminan harus diberi kepada akar umbi di setiap peringkat. Apakah langkah dan ketetapan kepimpinan dalam mengurus krisis parti. Jangan berlengah, akar umbi mengharap!,” katanya satu status di Facebook beliau, hari ini.
Hishammuddin merujuk kepada gesaan yang mahu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.
Bagaimanapun, semalam, Ahmad Zahid dilaporkan tetap dengan pendiriannya untuk tidak tunduk terhadap desakan segelintir golongan yang mahu dirinya meletakkan jawatan dalam parti.
Beliau akan patuh hanya kepada peraturan dan Perlembagaan UMNO bagi mendapatkan dua pertiga majoriti perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas untuk menentukan dirinya kekal atau mengundurkan diri. – UTUSAN ONLINE










