KUALA LUMPUR 28 Dis. – Mana-mana ahli politik meletakkan jawatan dalam parti yang dianggotai, dipecat atau menjadi ahli bebas perlu mengosongkan kerusi mereka bagi membolehkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan.
Untuk itu, Persatuan Sahabat Erat dan Amanat Rakyat (Sedar) akan menyerahkan petisyen untuk mendesak kerajaan menggubal undang-undang anti lompat parti bagi membolehkan rakyat memilih pemimpin yang baharu.
Presiden Sedar, Nazrin Norani berkata, undang-undang ini perlu digubal kerana pada awalnya pengundi memilih pemimpin berdasarkan parti politik yang diwakilinya ketika pilihan raya diadakan.
“Pengundi sudah bosan, kini pemimpin lebih sibuk melompat parti daripada melaksanakan tanggungjawab dan drama politik ini perlu dihentikan.
“Undang-undang ini tidak melarang wakil rakyat untuk menyertai parti lain sebaliknya hanya mahu mereka mengosongkan kerusi tersebut sekiranya tidak lagi bersama parti yang ditandinginya,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










