ISKANDAR PUTERI 6 Dis. – Kerajaan negeri diminta memberi tumpuan sekali gus melihat potensi Sedili dekat Kota Tinggi sebagai satu produk pelancongan serta menjadi tarikan baharu pelancong ke Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain berkata, ini kerana, Sedili bukan sahaja mempunyai pelbagai produk pelancongan menarik seperti makanan dan pantai tetapi boleh menjadi pelengkap kepada Desaru.
Menurutnya, Desaru yang terletak bersebelahan dengan Sedili kini sedang rancak dibangunkan sebagai satu tempat tarikan pelancong ke negeri ini, namun beliau percaya kawasan itu hanya mampu dikunjungi golongan berkemampuan.
“Atas sebab itu, saya yakin Sedili dapat memenuhi pelancongan mampu milik yang tidak ditawarkan di Desaru sekali gus menawarkan kepelbagaian produk kepada pelancong baik dari dalam mahu luar negara.
“Sedili amat berpotensi untuk dijadikan destinasi pelancongan baharu yang menarik dan boleh dinikmati semua lapisan masyarakat,” katanya membahaskan Belanjawan Johor 2019 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.
Justeru bagi menjayakan usaha tersebut, buat permulaan beliau mencadangkan kerajaan negeri menerusi Tourism Johor untuk membangunkan kawasan pantai seperti di Jason Bay atau Teluk Mahkota.
Beliau percaya penganjuran program perhimpunan kereta klasik Volkswagen, Johor VW Swap Meet Camp 2018 yang disertai peserta dari luar negara yang dianjurkan di pantai itu pada Ogos lalu merupakan antara usaha mempromosi tempat tersebut ke peringkat antarabangsa. – UTUSAN ONLINE










