Sayap Bersatu perlu fokus cari lebih ramai ahli - Utusan Malaysia

Sayap Bersatu perlu fokus cari lebih ramai ahli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Lumut, Akmal Maradzi menegaskan sudah tiba masanya seluruh kekuatan parti terutama jentera sayap memfokuskan kepada matlamat perjuangan untuk melindungi Melayu dan Bumiputera.

Akmal berkata, nasihat Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya pemimpin dan ahli parti mempertahankan hak bangsa merupakan satu wasiat cukup penting untuk mengangkat martabat bangsa kita terus maju dan tidak ketinggalan.

“Inilah masa terbaik kepada pemimpin-pemimin Bersatu terutama di sayap parti untuk fokus bagi mencari lebih ramai lagi ahli mendaftar selepas ini.

“Dengan keahlian yang ramai dan kuat, sudah pasti agenda perjuangan parti akan dapat digalas dengan penuh tanggungjawab dan menyeluruh, sekali gus dirasai oleh seluruh umat Melayu dan Bumiputera di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.  

Tambahnya, gesaan Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahman supaya lebih banyak ruang dan kedudukan diberi kepada anak muda termasuk wanita muda dalam parti wajar diberi perhatian. 

Menurut Akmal, Bersatu adalah parti yang mesra untuk orang muda. Kita mesti angkat suara mereka.

“Langkah itu bukan hanya membuka lebih banyak peluang dalam kalangan anak muda untuk bersuara, malah mengangkat darjat anak muda itu sendiri bagi menjadi sebahagian daripada kelompok terpenting dalam mengorak kemajuan negara,” katanya.

Ujar Akmal, hasrat itu mampu memenuhi matlamat perjuangan Bersatu itu sendiri untuk mengangkat dan memperkasa agenda bumiputera dalam kerajaan.

“Orang muda mesti diberi ruang yang secukupnya untuk mereka menimba pengalaman. Sebagai kesinambungannya, golongan ini akan lebih mudah untuk memahami apakah pengisian-pengisian yang akan dinukilkan dalam agenda Bumiputera baharu kelak,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN