PARIS – Seorang lelaki berpakaian kostum Santa Klaus dirakam membuat penerbangan menggunakan sebuah peluncur bermotor bersama kawanan angsa di Lapangan Terbang Sanit-Flour di pergunungan Massif Central dekat sini baru-baru ini.
Juruterbang Christian Moullec menggunakan kamera untuk merakam detik-detik menakjubkan itu sewaktu rakannya, Jacky Herbert memegang satu bungkusan hadiah terbang mengekori di belakang 14 ekor angka dalam susunan berbentuk huruf V.
Herbert turut melambai ke arah kamera ketika mereka luncur bersama kawanan angsa itu di ruang udara sambil menikmati pemandangan menarik di kawasan pergunungan di Perancis.
Moullec yang digelar sebagai ‘Birdman’ dikenali kerana gemar terbang bersama pelbagai jenis burung sejak tahun 1995 sebagai usaha membantu haiwan tersebut berhijrah ke kawasan terlindung dan tidak diancam kepupusan. – Agensi










