Sambut ulang tahun di puncak Kinabalu - Utusan Malaysia

Sambut ulang tahun di puncak Kinabalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERSAKSI puncak tertinggi Asia Tenggara, seramai 43 kakitangan Johor Corporation (JCorp) menyambut 50 tahun penubuhan organisasi itu selepas berjaya menawan Gunung Kinabalu pada 9 November lalu.

Peserta terdiri daripada wakil semua anak syarikat JCorp termasuk Johor Land, KPJ Healthcare Berhad, Kulim (Malaysia) Berhad, QSR Brand Berhad, Damansara Realty Bhd., TPM Teknopark Berhad dan Puteri Hotels Berhad.

Menjalani latihan fizikal dan mental sejak Mac lalu, kesemua peserta membuat persediaan antaranya dengan mendaki Gunung Ledang, bukit dan latihan mendaki tangga bagi meningkatkan tahap kecergasan masing-masing sebelum misi pendakian.

Turut serta ialah pendaki solo negara, Mohd. Noor Mat Amin dan pendaki Gunung Everest, T Ravichandran yang menjadi pemangkin semangat kepada semua peserta untuk sampai di puncak setinggi 4,095 meter itu.

Selepas selesai makan malam dan taklimat ringkas mengenai pendakian, semua peserta pulang ke penginapan masing-masing untuk berehat.

Sebaik sahaja selesai menikmati sarapan pagi pada keesokan hari, urusan permit, porter dan bersedia, semua peserta menaiki bas ke pintu Timpohon untuk permulaan pendakian menuju ke Panalaban sejauh enam kilometer.

Sebaik sahaja peserta tiba di pintu Timpohon, malim gunung memberi taklimat ringkas kepada peserta sebagai peringatan ketika mendaki.

Pada pendakian ini, seramai 10 malim gunung ditugaskan mengiringi para pendaki sehingga ke puncak Kinabalu.

Tepat pukul 9 pagi, pendaki menggalas beg yang berisi barangan peribadi, makanan dan minuman dan memulakan langkah dengan penuh semangat meninggalkan pintu Timpohon.

Setibanya di pondok Layang-Layang, selepas mendaki sejauh empat kilometer, para peserta menikmati makan tengah hari sebelum meneruskan pendakian ke Panalaban yang hanya berbaki jarak dua kilometer.

Akhirnya semua peserta bersama malim gunung tiba antara pukul 2 petang hingga 5 petang berdasarkan kepada kemampuan langkah pendakian setiap pendaki.

Semua peserta dibawa menginap di penginapan restoran Laban Rata. Selepas makan malam selesai, semua pendaki pulang ke penginapan masing-masing bagi mengumpulkan tenaga meneruskan misi menawan puncak keesokan hari.

Tepat pukul 1 pagi, selepas sarapan pagi, peserta mula bergerak dengan menggunakan lampu suluh bersama-sama pendaki lain meninggalkan pekarangan restoran Laban Rata menuju ke puncak gunung.

Peserta bergerak dengan kelajuan sederhana dalam kumpulan kecil dengan cabaran keadaan sejuk dan gelap sambil diiringi oleh malim gunung bertugas.

Akhirnya kumpulan pertama tiba di puncak seawal pukul 5 pagi manakala kumpulan-kumpulan kecil lain tiba di puncak sehinggalah pukul 7 pagi. Kepuasan tidak terhingga terpancar pada raut wajah peserta kerana misi itu adalah pendakian pertama mereka.

Walaupun kepenatan ia bukan penghalang semangat kesemua peserta yang membawa misi sambutan ulang tahun ke-50 tahun JCorp di puncak Kinabalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN