LONDON 27 Dis. – Pemain tonggak Liverpool, Mohamed Salah mungkin berdepan hukuman digantung perlawanan selepas didakwa menipu pengadil perlawanan bagi mendapatkan sepakan penalti menentang Newcastle, semalam.
Ini bermakna Salah berisiko tidak dapat diturunkan dalam perlawanan penting Liverpool menentang Arsenal dan Manchester City.
Dalam perlawanan tersebut Liverpool meraih kemenangan 4-0 ke atas Newcastle dalam aksi Liga Perdana Inggeris dan insiden berkenaan berlaku ketika Salah jatuh apabila pertahanan Paul Dummett menyentuh bahunya dalam kawasan penalti sekali gus meraih sepakan penalti pada minit ke-47.
Salah telah meledak gol ke-12 peribadinya musim ini menerusi sepakan penalti itu selain membantu Reds berada dalam kedudukan selesa dengan kelebihan enam mata di puncak liga.
Hari ini, satu panel Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris akan bermesyuarat bagi menentukan sekiranya pengadil, Graham Scott ‘tertipu’ ketika beliau memutuskan mengenai sepakan penalti itu.
Sekiranya panel dalam mesyuarat berkenaan yang disertai seorang bekas pengadil, seorang bekas pengurus dan seorang bekas pemain mendapati ada bukti jelas pemain secara sengaja memperdaya pegawai perlawanan maka Salah, 26 berdepan penggantungan dua perlawanan.
Sekiranya Salah didapati bersalah maka Liverpool berhak menafikan dakwaan salah laku tetapi suruhanjaya itu akan duduk berbincang sebelum kunjungan Arsenal, awal pagi Ahad ini bagi mendengar rayuan.
Ketika ini Liverpool berada di tangga teratas liga dengan kelebihan tujuh mata berbanding City dan kedua-dua pasukan itu akan bertemu di Etihad pada 3 Januari depan.
Sementara itu, pengurus Newcastle, Rafael Benitez meluahkan rasa kecewanya dengan keputusan menghadiahkan penalti ke atas Liverpool dalam perlawanan semalam.
“Penalti sebegitu mengubah segala-galanya dan sekarang ini saya perlu menjelaskan kenapa kami melepaskan empat gol,” kata Benitez. – AGENSI










