Sabah perlu diberi perhatian serius - Utusan Malaysia

Sabah perlu diberi perhatian serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
PEMIMPIN
datang dan pergi, ini menjadi lumrah mana-mana pertubuhan termasuk parti politik.

Namun, pemergian hampir kesemua nama-nama besar yang bertindak keluar UMNO Sabah hari ini sedikit pun tidak menjejaskan kedudukan parti itu, malah dilihat akan menjadi lebih kuat dan kukuh menerusi kepemimpinan wajah baharu kelak.

Pandangan itu disuarakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, DATUK YAKUB KHAN ketika menjelaskan kepada wartawan Utusan Malaysia, FAUZI SUHAIMI yang mahu

YAKUB KHAN
YAKUB KHAN 

kepemimpinan pusat memberi perhatian serius kepada UMNO Sabah bagi memastikan parti itu terus kekal relevan di negeri tersebut.

UTUSAN: Apakah pandangan Datuk berhubung tindakan kepemimpinan UMNO Sabah yang mengumumkan keluar parti?

YAKUB: Tindakan kesemua kepemimpinan UMNO negeri yang mengumumkan keluar parti hari ini tidak akan menjejaskan semangat UMNO yang masih berbaki.

Bahkan tindakan itu juga tidak akan menjadikan UMNO Sabah terkubur begitu sahaja, sebaliknya akan membuka peluang kepada barisan kepemim­pinan muda untuk menerajui parti.

Apakah punca sebenar yang berlaku sehingga kepemimpinan UMNO Sabah bertindak keluar parti?

Saya difahamkan, mereka seperti hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan pusat sehingga bertindak untuk keluar daripada parti dan perkara ini turut dizahirkan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hajiji Noor.

Perkara lain biarlah kami cuba menyelesaikan secara dalam dahulu memandangkan saya akan berjumpa dengan kepemimpinan pusat dalam masa terdekat.

Adakah ini bermakna semua ini berpunca daripada kepe­mimpinan UMNO Pusat?

Sukar untuk saya zahirkan mengenai perkara ini, umpama diluah mati emak, ditelan mati bapa. Apapun saya percaya kepemimpinan pusat mempu­nyai cara dan kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah ini.

Adakah tindakan itu akan menjejaskan sokongan rakyat kepada UMNO?

Pada saya, keputusan dibuat kumpulan yang bertindak keluar daripada UMNO itu tidak akan menjejaskan secara kese­luruhan parti.

Ini kerana, keputusan untuk keluar parti itu tidak mewakili kepada suara akar umbi.

Walau bagaimanapun, saya mengakui dalam tempoh terdekat ini, akan terasa perubahan mendadak dalam pengurusan parti, namun usaha ke arah menyusun semula gerak kerja akan diperinci semula termasuk mengadakan pertemuan de­ngan akar umbi bagi menjelaskan kekeliruan dialami ketika ini.

Apakah nasihat Datuk kepada kepemimpinan pusat untuk memperkukuhkan kedudukan UMNO di Sabah?

Perkara utama yang boleh saya katakan dan berharap adalah meminta barisan kepe­mimpinan pusat meletakkan perhatian yang serius terhadap UMNO Sabah.

Kita sedar bahawa kepe­mimpinan pusat sebelum ini amat jarang turun padang khususnya berjumpa dengan pemimpin serta akar umbi di negeri ini.

Berikutan itu, jarak hubu­ngan antara kepemimpinan ne­geri dan pusat amat jauh sehingga mengetepikan rintihan serta harapan di peringkat akar umbi.

Jadi, bersifat adillah kepada semua, lebih-lebih lagi Sabah yang sememangnya memerlukan perhatian yang lebih daripada kepemimpinan pusat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×