KUANTAN 30 Dis. – Seorang lelaki mengalami kerugian kira-kira RM11.5 juta selepas mendakwa diperdaya dalam proses lelongan tanah yang dibuat pihak bank baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang berusia 63 tahun mendakwa diperdaya atas lelongan tanah oleh pihak bank sewaktu proses lelongan di Mahkamah Temerloh.
“Kes ini bermula apabila pengadu menerima surat bankrupsi daripada pihak bank atas pinjaman syarikat yang dikongsi dengan seorang lelaki berjumlah RM11,871,449.51 yang mana pinjaman dibuat dengan gadaian tanah seluas 10.11 hektar di Raub.
“Pengadu juga telah mendapat tahu pihak bank telah menjual lima lot tanah yang dilelongkan itu dengan harga RM1,488,081.06,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih giat dilakukan. – UTUSAN ONLINE










