Repsol anjur anugerah media Terengganu tahun depan - Utusan Malaysia

Repsol anjur anugerah media Terengganu tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 19 Dis. – Syarikat minyak dan gas, Repsol Oil & Gas Malaysia Limited (Repsol) buat julung kalinya akan menganjurkan Majlis Anugerah Media Repsol bagi menghargai sumbangan pengamal media di negeri ini dalam menyalurkan maklumat.

Pengurus Kanan Perhubungan Awamnya, Ahmad Fakhrurrazi Arshad berkata, inisiatif yang akan dilaksanakan tahun depan itu secara tidak langsung dapat mengiktiraf hasil karya pengamal media Terengganu di samping memberi dorongan kepada mereka untuk melipat-gandakan usaha dalam menghasilkan berita eksklusif, tepat dan berinformasi.

Beliau menyatakan demikian dalam Majlis Makan Malam Media Repsol 2018 anjuran Pertubuhan Karyawan Kreatif Darul Iman (Karyawan Kreatif) di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Terdahulu dalam majlis itu, lebih 100 pengamal media Terengganu termasuk tetamu jemputan menghadiahkan bacaan Al-Fatihah untuk Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, anggota bomba yang menjadi mangsa keganasan perusuh Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor pada 27 November lalu.

Muhammad Adib parah dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman dan terpaksa mendapat rawatan rapi di Institut Jantung Negara (IJN) sebelum meninggal dunia kira-kira 9.41 malam, kelmarin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN